Rabu, 1 Februari 2017 | 8:30am

BN umum calon PRK Tanjong Datu petang ini


ABDUL Aziz Adenan. - Foto NSTP

KUCHING: Teka-teki siapa bakal calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu bakal terjawab petang ini.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dijadual mengadakan sidang media khas di Ibu pejabat BN Sarawak, Jalan Bako, di sini jam 3 petang ini bagi mengumumkan calon berkenaan.

Malah, jadual aturcara rasmi negeri 'dikosongkan' sepanjang hari ini bagi memberi laluan kepada majlis pengumuman itu, sekali gus mengakhiri teka-teki siapa bakal dipilih.

Tentunya, perhatian bertumpu kepada balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu, 62, dan anak lelaki sulung beliau, Abdul Aziz Adenan, 45, yang disebut-sebut sebagai dua calon akhir berpotensi bagi meneruskan legasi pemimpin itu.


PUAN Sri Jamilah Anu. - Foto NSTP

Sumber Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberitahu Abang Johari selaku Presiden PBB dan Pengerusi BN Sarawak sudah memanfaatkan tempoh secukupnya bagi meneliti setiap kelebihan dan kekurangan senarai calon berpotensi yang dikemukakan kepadanya.

"Yang pasti, dua nama dari keluarga Adenan atau lebih dikenali sebagai Tok Nan berada dalam senarai terakhir pada kedudukan teratas iaitu balu beliau (Jamilah) dan anak lelaki sulungnya.

"Malah, Puan Sri (Jamilah) dikatakan sudah memberi persetujuan untuk ditawarkan sebagai calon bagi `menyempurnakan' pelbagai projek pembangunan dirancang tetapi tidak sempat ditunaikan arwah ketika hayatnya," katanya.

Kerusi DUN Tanjong Datu kosong susulan kematian Tok Nan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu, empat hari selepas dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan untuk pemeriksaan rutin.

Tok Nan `berhijrah' dari DUN Muara Tuang ke DUN Tanjong Datu susulan proses persempadanan semula sempena Pilihan Raya Negeri Ke-9 (PRN-9), selain didorong iltizam kuatnya bagi membawa pembangunan ke kawasan luar bandar.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu, Allahyarham mengekalkan penguasaan di kerusi itu, yang juga `kubu kuat' BN Sarawak, dengan memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Tanjong Datu pada 4 Februari diikuti tarikh pengundian awal pada 12 Februari dan 18 Februari (hari pengundian).

INFO:

ABDUL AZIZ ADENAN

Umur: 45 tahun

Tarikh Lahir: 31 Mei 1972

Asal: Kuching, Sarawak

Karier: Ahli Perniagaan

Aktiviti Kemasyarakatan: Timbalan Pengerusi Yayasan Pillar

Pendidikan Menengah: Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK)

Kelayakan Akademik: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran & Perbankan (American University, London)

Pengalaman Kerja: Amanah Saham Sarawak (ASSAR)/Malaysia International Shipping Corporation (MISC)

Pengalaman Politik: Ketua Penerangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

Pengerusi Unit Media Baharu Barisan Nasional (BN) Sarawak

PUAN SRI JAMILAH ANU

Umur: 62 tahun

Tarikh Lahir: 14 Ogos 1955

Asal: Bau, Sarawak

Kerjaya: Surirumah/Pengarah Yayasan Jaznan

Kelayakan Akademik: Diploma Sains Kesetiausahaan (Universiti Teknologi Mara Cawangan Sabah)

Aktiviti Kemasyarakatan: Penaung Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM)

Penaung Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akak (PERKATA)

Penaung Persatuan Pengasuh & Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak

Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak

Pengerusi Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri Isteri Sarawak (SABATI)

Berita Harian X