Rabu, 1 Februari 2017 | 12:01am
PANDANGAN sisi reka bentuk masjid Abou Bakar Al-Siddiq yang diinspirasi daripada, Masjid Baitul Mukarram, Jakarta.

Pengalaman misi silaturahim di Colombia

AKTIVITI dalam masjid Abou Bakar Al-Siddiq.

SEBENARNYA sudah banyak rombongan dari Malaysia berkunjung ke Colombia dalam misi menjalinkan silaturahim serta mengenali lebih dekat saudara Islam di negara Amerika Latin itu. Lima rombongan dari negara ini telah meluangkan masa ke sana antara dua hingga tiga bulan sejak dua tahun lalu.

Selalunya, sebelum bertolak ke sana, ahli rombongan akan diberi penerangan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, mengenai perkara yang perlu dijangka termasuk serangan gerila kartel dadah, menjamu makan warga tempatan dan kemuncaknya adalah gelombang manusia yang mengucap syahadah.

Sseorang anggota rombongan dari Johor Bahru, antara yang terawal bermusafir di Colombia, Zainal, 39, ketika berkongsi pengalamannya berkata, perasaan teruja kerana ramai yang memeluk Islam walaupun tujuan mereka ke sana adalah untuk berdakwah kepada saudara Islam.

Beliau yang telah meluangkan masa di Colombia pada April hingga Julai 2014 sempat mengingatkan ahli yang bakal mengembara ke sana supaya membawa wang lebih bagi tujuan menjamu mualaf yang berjinak-jinak mengunjungi masjid untuk mendalami Islam.

Sementara itu, rakannya, Abdul Quddus pula menasihati kami supaya menghubungi kedutaan Malaysia di Peru sebagai langkah keselamatan. Visa ketibaan percuma yang dikeluarkan pihak imigresen Colombia sah untuk lawatan selama 90 hari.

Umat Islam meningkat

Bagi rombongan dari Ipoh yang akan memulakan perjalanan ke Colombia, ahlinya dinasihatkan untuk membuat persediaan memantapkan amalan rohani dengan memperbanyakkan zikir, doa, membaca al-Quran, menunaikan solat sunat serta memelihara tutur kata ketika berdakwah.

Berkongsi pengalaman, kedatangan rakyat Malaysia untuk berdakwah di negara terkenal dengan kartel dadah itu sentiasa dialu-alukan dan mereka akan diberi layanan baik oleh pihak yang menjadi tuan rumah sepanjang berada di sana.

Contohnya, ketika iktikaf di Masjid Abou Bakr Alsiddiq di Bogota, mereka berpeluang bertemu warga tempatan dan masyarakat antarabangsa yang berkunjung ke ibu negara Colombia itu. Antara yang singgah solat di masjid itu ialah etnik Arab, Syria, Turki, Malaysia, Mesir, Lebanon dan pantai Caribbean.

Pengerusi Masjid Abou Bakr Alsiddiq, Sheikh Ahmad Tayel, berkata terdapat ramai warga Colombia kini beragama Islam dan hampir 1,000 orang menetap di Bogota. Kebanyakannya imigran Syria, Lebanon dan Turki yang berpakat sejak 1972 dalam pengurusan hal ehwal Islam termasuk menunaikan solat berjemaah.

Pada asalnya tapak Masjid Abou Bakr Alsiddiq adalah bangunan kecil yang disewa untuk umat Islam solat berjemaah. Apabila jumlah jemaah kian bertambah disebabkan peningkatan warga Colombia yang memeluk Islam, mereka berpakat untuk membeli tanah bagi membina masjid.

Masjid main peranan penting

Berkat sumbangan derma daripada orang Islam tempatan dan luar negara, mereka akhirnya berjaya membeli tanah pada tahun 2010 sekali gus dapat membina masjid yang tersergam indah yang siap pembinaannya pada 2011.

Sejak Masjid Abou Bakar al-Siddiq, yang terletak di lokasi strategik di tengah laluan utama utara-selatan Bogota dibuka secara rasmi pada 2011, ia menjadi daya tarikan unik kepada warga setempat serta musafir yang singgah.

Kehadiran rombongan dari Malaysia turut membantu masyarakat tempatan berdampingan dengan mualaf yang tidak putus mengunjungi masjid berkenaan untuk mendalami Islam serta bertukar fikiran mengenai pelbagai perkara.

Wujudnya masjid di Bogota adalah suatu rahmat kerana dapat dijadikan pusat kegiatan dakwah serta memainkan peranan penting dalam usaha mempromosi Islam. Masjid juga berperanan sebagai institusi pendidikan untuk memantapkan pengetahuan saudara baru.

Masjid di Bogota menganjurkan kelas agama setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad yang yang memberi mafaat kepada warga tempatan untuk mempertingkat ilmu terutama aspek pembacaan al-Quran dari peringkat muqadam atau setaraf silibus Iqra di Malaysia.

Berita Harian X