Selasa, 31 Januari 2017 | 9:15pm

Aku Cinta 'satukan' Ernie, Syamel

ERNIE Zakri dan Syamel.

KUALA LUMPUR: Peserta Duo Star, Ernie Zakri, 25, teruja untuk memperkenalkan single duetnya bersama Syamel, Aku Cinta, dalam masa terdekat ini.

Lagu berkenaan dirakam kira-kira dua minggu lalu rentetan gandingan mereka dalam program Duo Star, yang bakal mencapai kemuncaknya beberapa hari lagi.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Jangan Marah itu, karya ciptaan bintang Akademi Fantasia 2015 terbabit mengetengahkan genre balada yang dianggap sudah sebati dengan jiwa masing-masing.

"Lagu ini bercerita mengenai cinta yang tidak kesampaian, namun perasaan itu tetap akan hadir sampai bila-bila," katanya mengenai naskhah yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim itu.

Bagi memberi laluan kepada lagu itu, Ernie juga menangguhkan rakaman single solo terbaharunya yang dicipta oleh Tam Spider.

Sementara itu, bercerita mengenai Duo Star yang membantu memperkenalkan lagi dirinya di dunia muzik, artis di bawah label FMC ini berkata, program berkenaan menjadi permulaan cukup baik buatnya.

Lebih-lebih lagi, beliau sendiri sudah berusaha memahat nama sebagai penyanyi berjaya sejak lebih tujuh tahun lalu.

"Kesannya bukan hanya terhadap saya, malah turut memberi impak kepada Syamel.

"Pada awal persaingan, memang kami mengambil masa untuk membaca rentak masing-masing. Ia memanglah perkara biasa bagi mana-mana penyanyi.

"Penonton nampak kami serasi di atas pentas, tapi realitinya bukanlah begitu. Hanya selepas minggu keempat, barulah kami saling 'mengenali' dan boleh 'ngam' dengan gandingan ini," kata juara Bintang RTM 2009 itu.

Berhubung gosip kononnya mereka bercinta, Ernie menegaskan mereka tidak perlu berlakon dengan menjual 'kisah cinta' hanya untuk memancing perhatian peminat.

Katanya, beliau memang selesa dengan cara Syamel, namun keserasian dan kemesraan yang terserlah hanyalah berpaksikan kerja semata-mata.

Berita Harian X