Selasa, 31 Januari 2017 | 5:33pm

Isu imigresen sempadan Malaysia-Brunei dimuktamadkan Mac - TPM


AHMAD Zahid (kanan) berbincang dengan Sultan Hassanal Bolkiah ketika menghadap Sultan Brunei Darussalam itu di Istana Nurul Iman hari ini sempena lawatan rasmi beliau selama satu hari di negara itu. - Foto BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN: Isu berkaitan pemeriksaan imigresen di pintu sempadan Malaysia-Brunei yang berlarutan sejak sekian lama, dijangka dimuktamadkan Mac ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini penduduk Brunei yang berulang alik ke Sabah dan Sarawak serta sebaliknya, perlu melalui 16 pemeriksaan imigresen bagi perjalanan ulang alik hingga menyulitkan aktiviti serta urusan harian.

Katanya, ia antara isu dibincangkan beliau ketika mengadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman serta perjumpaan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Awang Abu Bakar Apong sempena lawatan rasmi ke negara ini, hari ini.

Penyelesaian isu imigresen itu, kata Timbalan Perdana Menteri, akan melicinkan pergerakan rakyat dua negara bersahabat ini, terutama kerajaan Malaysia kini sedang membina Lebuhraya Pan Borneo menghubung Sabah-Sarawak-Brunei.

"Isu ini telah diperhalusi dan perbincangan selanjutnya akan diadakan jawatankuasa teknikal membabitkan pegawai kedua-dua negara sebelum dijangka dimuktamadkan pada Mac ini," katanya kepada media Malaysia sebentar tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perbincangan juga diadakan dalam soal pemindahan banduan Sabah dan Sarawak melalui Brunei yang memerlukan prosedur operasi standard (SOP) bagi menentukan aspek keselamatan dan perundangan diperincikan.

"Kami juga berbincang bagaimana perkongsian maklumat risikan dan kaedah untuk mengatasi jika berlaku jenayah rentas sempadan serta pembolosan pengganas yang terbabit dalam kumpulan Katibah Nusantara di empat negara rantau ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia menjunjung kasih kepada Sultan Brunei serta kerajaan negara itu kerana membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot karam di perairan Sabah.

Operasi SAR yang membabitkan kawasan seluas 3,000 nautika persegi turut dilakukan di perairan Brunei berikutan ada kemungkinan mangsa hanyut ke perairan negara jiran itu.

21 dibaca
Berita Harian X