Selasa, 31 Januari 2017 | 1:03pm

Jeti Tanjung Aru bukan untuk kegiatan pelancongan


YUK Ming ketika ditemui media di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengesahkan jeti yang menjadi lokasi bot bawa 27 pelancong warga China ke Pulau Mengalum pada Sabtu lalu, adalah haram bagi sebarang aktiviti pelancongan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Pang Yuk Ming, berkata hanya tiga jeti sahaja dibenarkan bagi tujuan aktiviti pelancongan di sekitar bandar raya iaitu Jeti Sutera, Jesselton Point dan Shangrila Tanjung Aru Resort (STAR).

"Jeti Tanjung Aru yang digunakan membawa 30 pelancong ke Pulau Mengalum itu sebenarnya hanya untuk kegunaan penduduk kampung sahaja, bukannya untuk mengendalikan aktiviti pelancongan.

"Pembinaan jeti itu memang mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut Sabah dan ia di bawah pemantauan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

"Namun pembinaan jeti ini hanya untuk kegunaan penduduk kampung sahaja dan bukannya pelancongan," katanya ketika ditemui sempena Lawatan Pesuruhjaya Polis Sabah ke Hospital Queen Elizabeth, di sini, hari ini.

Beliau mengulas lanjut mengenai kes sebuah bot membawa 30 penumpang termasuk 27 pelancong China dan tiga kru yang karam ketika dalam pelayaran ke Pulau Mengalum di perairan Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Yuk Ming berkata siasatan lanjut bakal dilakukan dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas kepada semua operator bot dan pengusaha pelancongan yang melaksanakan aktiviti pelancongan tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.

Berita Harian X