Selasa, 31 Januari 2017 | 9:07am

Mayat mangsa lemas di Tanjung Balau ditemui

KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki yang lemas ketika mandi bersama rakannya di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar dekat sini kelmarin, ditemui jam 7.10 pagi tadi.

Komander Operasi Zon Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Firdaus Ahmad, berkata mayat P Sarawanan, 23, ditemui di pantai tidak jauh daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa ditemui ahli keluarganya yang menunggu di pantai ini sejak semalam sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

"Mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas, berhampiran dengan penemuan mayat rakannya yang turut lemas yang ditemui awal pagi semalam," katanya di sini, hari ini.

Firdaus berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi bedah siasat.

Semalam, mayat K Yougesvaran, 23, ditemui terdampar di pantai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang pada jam 6.45 pagi, manakala rakannya, Sarawanan, masih belum ditemui.

Berdasarkan laporan awal, kejadian dipercayai berlaku jam 7.15 malam kelmarin ketika mangsa dipercayai mandi sebelum mereka ditarik ombak kuat.

Berita Harian X