Selasa, 31 Januari 2017 | 7:00am

Mungkinkah Liverpool 'berkubur di gua' musim ini?

Minggu ini saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) diadakan pada pertengahan minggu bagi memberi laluan kepada saingan pusingan keempat Piala FA.

Bagi minggu ke-23 ini, tumpuan perlawanan terarah kepada pertembungan antara dua gergasi EPL - Chelsea dan Liverpool yang berlangsung di Anfield lewat pagi esok.

Ini adalah antara aksi getir buat Chelsea dalam usaha merangkul kejuaraan liga musim ini. Minggu depan mereka akan bertemu Arsenal pula.

Pada mulanya, memang ramai menganggap pertemuan dengan barisan Jurgen Klopp ibarat 'buku bertemu ruas'.

Namun melihat kepada kekalahan dialami The Reds dalam tiga aksi terakhir, anggapan itu kini nampaknya meragukan.

Liverpool seperti sudah hilang arah dan keyakinan merudum apabila tersingkir pada separuh akhir Piala Liga ditangan Southampton dan pusingan keempat Piala FA kepada Wolves dalam tempoh seminggu.

Kini apa lagi yang tinggal untuk dikejar oleh The Reds musim ini? Jangan ditanya 'haters' kelab ini, sebab jawapan mereka tentulah seragam - impian Liverpool sudah 'berkubur di gua' musim ini.

Secara realistiknya, Liverpool masih ada satu lagi kejuaraan untuk diburu musim ini iaitu EPL. Dan pertemuan dengan Chelsea jam 4 pagi esok adalah titik permulaannya. Andai tewas bermakna mereka bolehlah mengucapkan selamat tinggal seperti kata legenda kelab berkenaan, Steven Gerrard beberapa hari lalu.

Sebelum pertemuan ini, barisan Antonio Conte sedang mengungguli liga dengan kelebihan lapan mata hasil himpunan 55 mata. Selepas 22 perlawanan, Chelsea hanya tewas tiga kali selain seri sekali dengan aksi terakhir EPL menjinakkan Hull City, 2-0.

Rekod memihak Liverpool

Pesaing terdekatnya Arsenal, terus merapati mereka dengan himpunan 47 mata untuk berada di tangga kedua manakala Tottenham Hotspur di tempat ketiga dengan 46 mata. Liverpool pula dengan 45 mata, ketinggalan 10 mata untuk berada di tempat keempat. Andai menang ke atas The Blues, mereka bakal ketinggalan tujuh mata tatkala saingan musim ini berbaki 15 perlawanan. Ini mungkin berlaku sebab Liverpool ada 'tabiat' jadi kuat bila bertemu pasukan kuat.

Andai melihat kepada statistik lalu, Liverpool mungkin ada motivasi untuk bangkit. Mengikut statistik EPL, dalam 49 tahun lalu, kedua-dua pasukan memiliki rekod kemenangan serupa iaitu 19 kali selain terikat 11 kali. Jika kita mengimbas lima pertemuan terakhir, ia jelas memihak anak buah Jurgen Klopp.

Pada pertemuan terakhir 16 September lalu di Stamford Bridge, ia dimenangi oleh The Reds dengan mengejutkan Chelsea 2-1, manakala ketika saingan berlangsung Anfield, 11 Mei, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Ketika aksi berlangsung di Stamford Bridge pada 31 Oktober 2015, Liverpool mencatatkan kemenangan 3-1 manakala pada 10 Mei tahun sama, kedua-duanya terikat 1-1.

Dan pada 8 November 2014 tatkala pertembungan berlangsung di Anfield, Chelsea berjaya menjinakkan lawannya itu.

Sementara itu Arsenal dijangka tiada masalah menjinakkam Watford dilaman sendiri, manakala Manchester City harus berhati-hati apabila berkunjung ke West Ham. Manchester United yang layak ke final Piala Liga dan mara ke pusingan ke-5 Piala FA harus juga menang ke atas Hull City yang ditewaskan sebelum ini. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-23:

Arsenal 3 0 Watford

Middlesbrough 1 1 West Brom

Swansea City 1 2 Southampton

Bournemouth 2 2 Crystal Palace

Sunderland 0 2 Tottenham Hostpur

Burnley FC 2 2 Leicester City

Liverpool 0 2 Chelsea

West Ham 1 3 Man City

Stoke City 1 2 Everton

Man United 3 1 Hull City

Penulis adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X