Selasa, 31 Januari 2017 | 1:16am

Jenazah mangsa kemalangan dituntut keluarga

IPOH: Jenazah Anita Zuriana Abu Zarim, 46, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Ipoh - Lumut, di Batu Gajah, dekat sini, petang tadi, selesai dibedah siasat dan dituntut ahli keluarganya.

Jenazah dituntut oleh ibu, abang dan anak kedua Allahyarham serta beberapa ahli keluarga lain di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, kira-kira jam 12 tengah malam tadi. 

Mangsa akan dibawa ke rumah keluarganya di Shah Alam, Selangor dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, pagi nanti.

JENAZAH mangsa kemalangan maut Ipoh-Lumut dekat Seputeh dituntut ahli keluarga di Unit Forensik Hospital Batu Gajah.- Foto Abdullah Yusof

JENAZAH Anita Zuriana Abu Zarim, 46, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Ipoh - Lumut dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Batu Gajah. - Foto Abdullah Yusof**241992

Sementara itu, sehingga tengah malam tadi, jasad empat sekeluarga yang turut terkorban dalam kemalangan ngeri itu masih belum dituntut oleh mana-mana ahli keluarga mereka. 

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 petang itu, lima maut, manakala tiga parah selepas kereta jenis Mercedes Benz bertembung dengan Toyota Vios.

Empat sekeluarga yang maut adalah pemandu Toyota Vios dikenali Leong Kok Chuen, 37; bapanya, Leong Chuen Meng, 67; ibunya, Lee Fong Lan, 61, dan adik perempuannya, Leong Sook Yee, 34. 

Suami Anita Zuriana, Radzlan Mohamed, 50, yang memandu Mercedes Benz serta dua anaknya Anisa Rizuana, 19 dan Azra Rhea, 13, parah dalam kemalangan itu.

AHLI keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Batu Gajah.- Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X