Selasa, 31 Januari 2017 | 12:10am

FOMCA syor contohi Korea Selatan ekstrak air tanah

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran mencontohi Korea Selatan yang terbukti berjaya dalam mengekstrak air tanah atau air bawah tanah sebagai sumber bekalan air, sekali gus tidak terlalu bergantung kepada air permukaan.

Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengurusan air di negara itu begitu berkesan, malah penduduknya tidak dibebankan dengan krisis bekalan sepanjang tahun.

Katanya, Korea memiliki teknologi yang hebat bagi memproses air mentah, malah mereka membina terowong (smart tunnel) yang luas dan panjang di bawah tanah semata-mata untuk menyimpan air hujan.


TIMBALAN Presiden, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman


AIR bawah tanah sebagai sumber alternatif bekalan air bersih

"Air ini digunakan apabila bekalan air permukaan berkurangan. Berbanding di Malaysia, kita terlalu bergantung dengan air sungai dan empangan yang diproses untuk kegunaan harian. Hanya kurang lima peratus menggunakan air tanah.

"Namun, apabila berlaku kemarau atau pencemaran, bekalan air mentah untuk diproses terpaksa dihentikan. Ia menyaksikan bekalan air terawat atau bersih tidak dapat disalurkan kepada pengguna, sekali gus menimbulkan masalah kepada mereka," katanya kepada BH Plus.

Mohd Yusof berkata, ketika menyertai lawatan ke Korea Selatan beberapa tahun lalu, pegawai jabatan bekalan air negara itu hairan mengapa Malaysia yang memiliki air yang banyak masih menghadapi krisis.

Beliau berpendapat negara ini tiada sistem dan perancangan yang betul dalam pengurusan air dengan kebanyakan operator air lebih suka mengambil secara percuma air sungai dan memprosesnya kerana ia membabitkan kos yang kecil.

"Apabila mengekstrak air tanah, isu kos pelaburan membina prasarana ditimbulkan. Bagi jangka panjang, operator sebenarnya lebih untung kerana ia hanya membabitkan sekali pembayaran.


SUMBER air bawah tanah yang bersih dikumpul di dalam telaga.

"Seperti kita bina Transit Aliran Massa (MRT). Walaupun kos pembinaan tinggi, ia jauh lebih murah bagi jangka panjang," katanya.

Mohd Yusof berkata, FOMCA difahamkan Kerajaan Persekutuan sudah menubuhkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang berfungsi menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di Malaysia.

"Saya harap jabatan bekalan air negeri dapat bergabung dengan PAAB dalam usaha memberi mutu perkhidmatan yang terbaik. PAAB juga mempunyai peruntukan untuk membaik pulih atau membina kemudahan baharu yang selama ini menghantui agensi negeri.

"Ini termasuk memohon peruntukan untuk teknologi mengekstrak air tanah berkenaan sebagai sumber alternatif bekalan air bersih," katanya.

Sementara itu, Pakar Kualiti Air dan Permodelan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zaki Zainuddin, berkata kajian terhadap faktor pencemaran air sungai negara ini mendapati 40 peratus berlaku daripada punca tidak tetap atau dikenali air larian iaitu air pengangkut bahan di permukaan bumi ke dalam longkang atau sungai.


PAKAR Kualiti Air dan Permodelan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zaki Zainuddin

TELAGA sistem penyusupan air tebing sungai dibina bagi mengepam air bawah tanah.

Ini diikuti 30 peratus daripada punca tetap mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) seperti loji kumbahan, kilang, tapak pelupusan sampah manakala 30 peratus lagi membabitkan punca bukan mengikut AKAS seperti ladang babi, pasar borong dan pasar basah.

Air larian adalah air hujan yang mengangkut bahan yang mengandungi pencemar organik, ammonia, lumpur, logam berat seperti contoh arsenik, aluminium, sekali gus menyebabkan pencemaran air dan meningkatkan keladak sungai.

Katanya, meskipun keadaan itu berlaku di kawasan bandar dan luar bandar, belum ada undang-undang khusus mengenai air larian dan banyak bergantung kepada kesedaran sivik orang ramai.

"Kita sebagai pengguna pula amat bergantung kepada air sungai sebagai sumber air minuman dan kegiatan harian. Malah, lebih 90 peratus bekalan air minum di negara ini adalah daripada sungai.

"Bahayanya, sistem rawatan air yang sedia ada menggunakan teknologi konvensional. Ini bermakna ada kemungkinan tidak semua bahan pencemar dirawat secara berkesan dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna," katanya.


AIR bawah tanah yang bersih dikumpul di dalam telaga utama sebelum dipam naik ke pusat rawatan.

Dalam pada itu, Zaki berkata, air larian yang mengandungi bahan toksik yang masuk ke dalam sungai boleh menyebabkan hidupan air mati.

Katanya, ini kerana bahan organik yang dibawa air larian menggunakan oksigen ketika proses penguraian, menjejaskan kandungan oksigen hidupan air.

"Tambahan pula dengan kehadiran bahan pencemar lain, seperti ammonia dan keladak, risiko kejadian ikan mati semakin meningkat," katanya.

INFO

Faktor pencemaran air sungai:

- 40 peratus daripada punca tidak tetap iaitu air pengangkut bahan di permukaan bumi ke dalam longkang atau sungai.

- 30 peratus daripada punca tetap seperti loji kumbahan, kilang, tapak pelupusan sampah.

- 30 peratus daripada punca bukan mengikut AKAS seperti ladang babi, pasar borong dan pasar basah.

AIR bawah tanah yang bersih dikumpul di dalam telaga utama sebelum dipam naik ke pusat rawatan.
ANTARA telaga pengumpul menegak (HCW) yang dibina bagi mengutip air bawah tanah di Bachok, Kelantan.
Berita Harian X