Isnin, 30 Januari 2017 | 12:42pm

2 lelaki lemas, seorang lagi belum ditemui


MAYAT Yougesvaran ditemui terdampar pagi tadi di tepi Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, berhampiran lokasi beliau dilaporkan hilang ketika mandi petang semalam. - Foto ihsan Polis Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Seorang lelaki ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas mereka mandi di Pantai Tanjung Balau, dekat sini, petang semalam.

Mayat K Yougesvaran, 23, ditemui terdampar di pantai tidak jauh daripada lokasi dia dilaporkan hilang pada jam 6.45 pagi tadi, manakala rakan sebayanya, P Saravanan, masih belum ditemui.

Komander Operasi Zon Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Firdaus Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 7.40 malam tadi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Katanya, berdasarkan laporan awal kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.15 malam, mangsa dipercayai mandi sebelum mereka ditarik ombak kuat.

"Operasi SAR membabitkan pencarian serta rondaan yang dilakukan di pesisiran pantai dan berhenti tengah malam sebelum diteruskan semula pagi ini.

"Keadaan laut bergelora, angin kencang serta ketinggian ombak kira-kira dua meter menyebabkan usaha mencari menggunakan bot tidak dapat dilakukan. SAR turut menerima bantuan anggota penyelamat KEJORA (Lembaga Kemajuan Johor Tenggara)," katanya di sini, hari ini.

Katanya, mayat Yougesvaran ditemui terdampar di tepi pantai terbabit oleh pasukan SAR sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi bedah siasat.

Berita Harian X