Isnin, 30 Januari 2017 | 12:07am

Nad Zainal percaya Faliq tak songlap wang

KUALA LUMPUR: Kisah artis melantik suami atau isteri menjadi pengurus peribadi atau perunding dalam mencari tawaran kerja bukanlah perkara baharu. Ramai selebriti tempatan melakukannya atas alasan tersendiri.

Jawapan paling 'standard' sudah pasti hubungan sebagai pasangan suami isteri tidak mengundang umpatan, selain kepercayaan mutlak yang diberi terhadap pasangan, terutama dalam membabitkan soal bayaran dan terma lain dalam kontrak tawaran.

Sejak bernikah pada 18 Disember 2015, Nad Zainal selesa melantik suaminya, Faliq Amirudin sebagai pengurus. Bagi ibu kepada Fahad Ibrahim, dia lebih senang urusan kerjaya seni dikendalikan cinta hatinya itu.


PELAKON Nad Zainal pada pra tonton filem Aku Haus Darah Mu, The Curve. - Foto Rohanis Shukri

Nad yang meraih trofi Pelakon Televisyen (TV) Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 menepis dakwaan terkongkong apabila 24 jam 'berkepit' dengan suami. Mengapa tidak, Faliq sentiasa di sisi Nad menguruskan kerjaya dan pulang ke rumah, sama-sama mengasuh anak tersayang.

Bagai tiada rahsia yang hendak disembunyikan, Nad percaya Faliq boleh melunaskan kerjanya dengan baik.

"Lagipun, Faliq bekerja dalam industri yang sama. Kebanyakan penerbit dan syarikat produksi yang menghubungi adalah kawan kami.

"Jadi urusan lebih mudah. Bagi saya, tidak wujud isu tak percaya. Sampai di rumahpun kami berbincang urusan kerja. Bagi kami, soal kerja boleh dibincang di mana-mana," katanya.

Seperkara lagi, kata Nad, dia tidak pernah risau mengenai soal bayaran yang dirunding antara suami dan syarikat produksi.


PENGARAH, Aidilfitri Mohamed (kanan) bersama pelakon Amalia Syakirah (kiri), Zoey Rahman, Nad Zainal dan Deanna Yusoff yang menbintangi filem Aku Haus Darah Mu. Turut sama Wan Sariah Wan Jaafar (dua dari kanan). - Foto Rohanis Shukri

"Saya tak perlu bimbang soal bayaran yang diminta... Takkanlah suami sendiri nak aniaya saya," katanya yang akan muncul dengan filem Aku Haus Darahmu yang mula ditayangkan, Khamis depan.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, selain mengurus dirinya, Faliq menjadi penasihat bagi memastikan karier seninya lancar.

"Dia lelaki dan suami yang jujur. Jika dia rasa sesuatu tawaran itu tak perlu diambil, dia akan jelaskan.

"Faliq selalu nasihat, contohnya, kalau nak terima tawaran berlakon telefilem, ambil drama yang serius. Cuba elak cerita komedi atau terlalu kerap berlakon komedi. Dia juga tak mahu saya terlalu tamak menerima tawaran berlakon hingga tidak fokus," katanya.

Nad berkata, apabila suami menjadi pengurus, dia tidak tertekan dengan kehendak syarikat pengurusan yang cenderung mahu artis berlakon atau terbabit dalam seberapa banyak projek.

"Faliq mahu saya menjaga kualiti daripada terus larut dengan kuantiti. Biar ambil cerita yang berkualiti, jangan asal tangkap muat saja," katanya.


NAD Zainal bersama anaknya.

Rindu berjauhan dengan anak

Ditanya mengenai reaksi suami apabila Nad perlu melakonkan babak intim dengan pelakon lelaki lain, Nad berkata, ia tidak pernah menjadi masalah.

"Hal itu bukanlah suatu masalah atau beban yang sering difikir suami. Selagi naskhah itu bagus, dia faham kerja saya. Selalunya, saya tak mendapat karakter di mana saya perlu beraksi secara berlebihan dengan pelakon lelaki. Malah, saya boleh dikira cerita romantik. Jadi dia tak perlu risau.

"Saya juga cuba mengelak. Saya sedar status saya sekarang. Tak timbul soal suami cemburu buta," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem Dosa Perempuan bersama Mira Filzah dan Redza Rosli bagi siaran TV3, Mac depan.

Bercerita mengenai cahaya mata tercinta, Fahad, Nad mengaku anak sulungnya itu mengubah kehidupannya.

"Kami bergilir-gilir menjaga anak. Ibu mentua juga sudi mengasuh Fahad. Kami juga tidak menggunakan khidmat pembantu rumah.

"Pernah terfikir mengupah pengasuh, tapi tengoklah macam mana. Apabila sudah jadi ibu, rasa nak berjauhan dengan anak begitu perit. Rasa panik pun ada... Macam-macamlah perasaan," katanya.

Memberi contoh, Nad berkata, dia menerima tawaran mengacarakan program travelog, Citarasa Malaysia untuk siaran Ramadan kelak di RTM.

"Program itu memerlukan saya 'pusing' satu Malaysia. Paling lama saya berjauhan dengan anak adalah tiga hari kerana perlu ke Johor dan Melaka bagi penggambaran travelog berkenaan," katanya.


NAD bersama suami dan anaknya.

Jual produk kecantikan

Menambah pendapatan, sejak tahun lalu, Nad berjinak-jinak menjual produk kecantikan menggunakan jenama Audella.

Katanya, produk kecantikan itu mempunyai lima fungsi termasuk membuang toksid, mencerahkan kulit dan menguruskan badan.

Nad juga sentiasa menjaga penampilan diri terutama dalam memastikan berat badan ideal.

"Nak kata saya bergelut nak kurus selepas melahirkan anak, tidaklah sangat. Saya diet dan menjaga pantang sehabis baik.

"Saya nak capai berat ideal 50 kilogram. Selepas mengandung berat naik 63 kilogram dan diturunkan kepada 54 kilogram. Saya juga idamkan kulit putih berseri tanpa cela, jerawat dan jeragat. Tapi tidaklah obses hendak jadi putih," katanya.

Sebagai usahawan bertanggungjawab, Nad mendidik pengguna mendapatkan kulit yang bersih dan sihat.

"Saya tekankan kulit yang bersih, bukannya nak putih dengan segera. Kulit putih akan datang selepas itu. Saya tak mahu putih yang pucat," katanya.

INFO

- Nad percaya Faliq boleh melunaskan kerjanya dengan baik.

- Teringin capai berat badan ideal 50 kilogram.

- Berjinak-jinak menjual produk kecantikan menggunakan jenama Audella, sejak tahun lalu.

NAD Zainal.
Berita Harian X