Ahad, 29 Januari 2017 | 2:33pm

Lelaki lemas, dua rakan selamat


KAD pengenalan Putera Amarrul Ramdhan M Am Ran yang dilaporkan lemas di Pantai Batu Layar, Sungai Rengit.- Foto Ihsan polis

KOTA TINGGI: Kegembiraan tiga rakan mandi di Pantai Batu Layar, Sungai Rengit di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata pekerja swasta, Putera Amarrul Ramdhan M Am Ran, 21, dilaporkan lemas pada jam 3 petang sebelum mayatnya ditemui orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 6.45 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa dan dua rakannya turun mandi ke laut dalam keadaan ombak kuat dan bergelora.

"Dua rakannya sempat menyelamatkan diri manakala mangsa dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui pada 6.45 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rahmat berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh tiga anggota dari Balai Polis Sungai Rengit, empat anggota polis Marin dan 10 anggota Bomba dan Penyelamat dengan dua jentera.

Berita Harian X