Ahad, 29 Januari 2017 | 1:26pm

Ronnie Hussein makin melaram


PENYANYI, Ronnie Hussein. - Foto Saifullizan Tamadi.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ronnie Hussein mengaku yakin bergaya di hadapan lensa selepas berat badan menyusut.

Ronnie yang juga bekas vokalis kumpulan Hyper Act memberitahu, dia berjaya mengurangkan berat badan selepas mematuhi rejim kecergasan dan pemakanan sihat.

"Sebelum ini, kalau ada sesi fotografi, saya kena cari sudut sesuai supaya tubuh yang gempal tak nampak ketara.

"Sebagai artis, kita kenalah nampak bergaya apabila berpakaian. Namun, saiz badan saya amat susah nak mencari tajaan pakaian.

"Kalau adapun, pakaian tampak ketat. Situasi itu dapat dirasakan ketika saya menyertai program realiti, Duo Star, baru-baru ini," katanya kepada BH Online.

Enggan lagi berdepan masalah sama, Ronnie nekad mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam.

"Selepas sebulan, saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 17 kilogram (kg). Berat badan saya sekarang 77 kg.

"Bagi mendapatkan berat ideal, saya kena turunkan tujuh kilogram lagi menjadi 70 kg," katanya.

Tambahnya, semangat untuk tampil kurus didorong isteri dan syarikat pengurusannya.

"Isteri saya paling gembira dengan perubahan ini. Dia banyak membantu saya menyediakan makanan berkhasiat.

"Begitu juga syarikat pengurusan yang banyak memberi nasihat dan dorongan. Saya faham, mereka mahukan yang terbaik untuk saya," katanya lagi.

Mengenai single terbaharunya, Menanti Janji, Ronnie berkata, promosi untuk lagu terbabit sedang rancak dibuat.

"Alhamdulillah, walaupun tidak kerap, namun ada stesen radio yang sudah memutarkan lagu itu.

"Tetapi di laman YouTube, lagu itu semakin mendapat perhatian peminat," katanya.

Dilancarkan sejak 31 Disember lalu, single Menanti Janji yang dipilih melatari drama bersiri Biar Aku Jadi Penunggu siaran slot Akasia, sudahpun ditonton lebih sejuta kali.

34 dibaca
Berita Harian X