Sabtu, 28 Januari 2017 | 9:47pm

Sharnaaz dapat inspirasi daripada bakal isteri


SHARNAAZ Ahmad dan Noor Nabila Mohd Noor. Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Mula ditayangkan di saluran Astro Ria hari ini, drama Lukisan Cinta arahan sulung pelakon, Sharnaaz Ahmad, 32, dihasilkan atas dorongan bakal isterinya, Noor Nabila.

Mengaku mendapat inspirasi daripada Noor Nabila untuk menghasilkan drama berkenaan, Sharnaaz memberitahu, suri hatinya itu berjaya membina keyakinan diri untuk keluar dari kepompong selesa.

"Nabila memberi saya inspirasi untuk berkarya. Keluar dari kepompong selesa, saya mencuba nasib sebagai pengarah pula.

"Sudah tentu saya berdebar dengan karya sulung ini. Saya berharap peminat dapat menerima pertaruhan saya sebagai pengarah dan pelakon," katanya kepada BH Online.

Sharnaaz atau Sharnaaz Basir Ahmad berkata, pengalaman mengarahkan drama Lukisan Cinta cukup manis dan sukar dilupakan.

Selain Sharnaaz, Lukisan Cinta yang disiarkan pada jam 4.30 petang turut menampilkan Nabila Huda sebagai teraju utama.

Dalam perkembangan terbaharu, Sharnaaz bakal memulakan penggambaran drama bersiri komedi romantik berjudul Mr Hijab. Drama 30 episod itu sekali lagi menggandingkan Sharnaaz dan Nabila Huda.

Pada sidang media baru-baru ini, Sharnaaz dan Nabila mengumumkan mereka bakal bernikah pada 31 Mac depan. Majlis resepsi akan diadakan pada 2 April di ibu negara, disusuli 16 April depan di Pulau Pinang.

Berita Harian X