Sabtu, 28 Januari 2017 | 9:42pm

Ikat Selangor petanda permulaan baik - Williams

JURULATIH Melaka United (MU) Eric Williams (kiri). - Foto Osman Adnan

MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU) Eric Williams menganggap kejayaan mengikat Selangor 1-1 permulaan baik buat skuad berkenaan ketika aksi sulung Liga Super pasukan itu beraksi di gelanggang lawan.

Bagaimanapun dia sedikit terkilan berikutan pemain gagal menggunakan kelebihan jaringan pendahuluan Khairu Azrin Khazali pada minit ke-68 tidak dapat dikekalkan sehingga ke 90 minit permainan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang terbabit.

Baginya peluang meraih tiga mata kian terserlah menerusi jaringan berkenaan, namun tuan rumah bijak mengambil kesempatan hasil sepakan sudut Raimi Md Nor untuk gol penyamaan import baharu The Red Giants dari Romania, Victor Astafei ketika baki perlawanan kurang sembilan minit.

Williams berkata, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik untuk mencipta kemenangan namun nasib tidak menyebelahi MU , walaupun usaha terbabit pada awalnya kian menampakkan hasil.

"Apapun sentuhan pemain dilihat memberangsangkan walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki terutama kelancaran melakukan gerakan bermula dari posisi pertahanan, tengah sehingga ke rangkaian serangan.

"Namun saingan ini jelas bermakna untuk pasukan lebih bersedia pada perlawanan kedua yang dijadualkan berdepan Perak di Ipoh pada 4 Februari depan," katanya.

Justeru, dia akan memberi fokus yang lebih kepada beberapa apsek yang perlu diperbaiki pada sesi latihan, tambahan pasukan tidak mempunyai masa mencukupi untuk berdepan skuad Seladang.

Katanya, Selangor diakui sebuah pasukan yang baik tambahan pengalaman luas dalam saingan Liga Super berbanding MU yang baharu bersaing selepas tempoh yang panjang, pastinya sedikit berbeza dengan penampilan sulung skuad Hang Tuah.

Menurutnya,  keputusan mengutip satu mata di gelanggang lawan jelas keputusan yang baik, sambil mengharapkan pemainnya mampu melakukan lebih positif pada perlawanan kedua kelak.

Dalam saingan berkenaan, Williams jelas berani menurunkan dua pemain yang kali pertama ditampilkan bersama MU yang sebelum ini tidak pernah beraksi pada saingan persahabatan pramusim.

Dua pemain berkenaan termasuk penjaga gol Badrulzaman Abdul Halim dan import dari Korea Selatan, Jeon Woo-Young dilihat mampu menyerap asakan lawan selain membentuk persefahaman yang baik bersama rakan sepasukan.

Berita Harian X