Sabtu, 28 Januari 2017 | 8:51pm

Sayup suara minta tolong


‪MOHD Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20, yang hilang ketika mendaki Bukit Broga petang Ahad lalu, ditemui selamat pagi tadi.‬ - Foto ihsan pembaca

KAJANG: "Saya terdengar suara sayup orang meminta tolong dari tepi kawasan semak ketika dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Tok Wan tetapi tak nampak sesiapa."

"Saya minta dia goyangkan pokok sebab nak tahu dari mana datangnya suara itu sebelum menemui mangsa," kata Muhammad Ridhallah Ariffin, 27.

Beliau adalah pendaki terawal yang menemui Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20, pemuda yang hilang ketika mendaki Bukit Broga sejak 22 Januari lalu.

Muhammad Ridhallah berkata, dia bersama tiga rakannya ke Bukit Broga untuk mendaki sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Tok Wan.

Katanya, ketika dalam perjalanan turun mereka berhenti rehat seketika di laluan pendakian antara Bukit Broga dengan Gunung Tok Wan, kira-kira jam 9.30 pagi dan ketika itulah dia terdengar suara orang meminta tolong.

"Sebaik terdengar suara itu, rakan saya, Nor Farhana Mat Sedek minta saya bangun dan lihat kawasan sekitar untuk mencari dari mana datangnya suara itu.

"Saya tidak menyangka rupanya individu yang kami temui itu adalah mangsa yang sedang dicari," katanya.

Mohd Azarul Mukhriz dikatakan mendaki ke bukit itu bersama enam rakannya kira-kira jam 6 petang sebelum dilaporkan hilang.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia (MOSAR), yang terbabit dalam misi mencari mangsa, Mohammad Bin Mohammad Salleh, berkata mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lereng bukit antara Bukit Broga dengan Gunung Tok Wan.

Ketika ditemui, mangsa menggunakan tongkat dan memegang sebiji buah hutan dan lemah tetapi stabil.

"Empat pendaki yang menemui mangsa memberikan biskut dan air kepadanya sebelum berusaha membawa mangsa turun.

"Mereka kemudian bertembung dengan pasukan mencari dan menyerahkan mangsa kepada pasukan berkenaan untuk dibawa turun dengan bantuan anggota bomba," katanya.

Bapa mangsa, Abd Rahman Saad, 49, ketika ditemui bersyukur kerana anaknya ditemui selamat.

"Saya sudah lima hari berkampung di kawasan kaki Bukit Broga untuk menyertai pencarian Mohd Azarul Mukhriz dan syukur akhirnya dia ditemui.

"Saya dan isteri hanya mampu menangis sebaik anak kami ditemui kerana selama ini kami amat bimbang dengan keselamatannya. Alhamdulillah dia sihat tetapi sedikit kurus berbanding sebelum ini," katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata mangsa masih ditempatkan di wad kecemasan Hospital Kajang untuk pemantauan.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya calar di bahagian kaki.

"Mangsa ditemani kedua ibu bapanya di hospital.

"Kita akan rakam percakapan mangsa bagi mengetahui punca dia sesat tetapi buat masa ini kita belum dapat berbuat demikian kerana mahu beri masa untuk dia berehat dan kembali sihat terlebih dulu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

16 dibaca
Berita Harian X