Jumaat, 27 Januari 2017 | 11:32pm
PEMAIN JDT, Jeronimo Barrales (kiri) rebah selepas diasak pemain Felda United, Mohd Alif Mohd Yusof pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Liga Super: JDT bukan tandingan FELDA United


PEMAIN JDT, Brian Federico Ferreira (kiri) diasak pemain Felda United, Mootaz Bellah El Jounaidi pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan FELDA United 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Tuan rumah bermula garang seawal minit kelima apabila sepakan percuma Kapten Safiq Rahim hampir merobek gawang gol pelawat.

Bagaimanapun, bola sekadar terkena sipi pintu gol ketika penjaga gol, Mohd Farizal Harun sudah tertewas.

Dua minit kemudian, rembatan Amirul Hadi Zainal, yang menyambar bola sepakan sudut Safiq merembat tepat ke arah gol, namun sempat ditanduk keluar Mootaz Jounaidi.

Pelawat juga melakukan serangan di kubu tuan rumah pada minit ke-19 apabila Mohd Hadin Azman pantas melintang bola, namun tandukan Gaston Cellerino sekadar melepasi palang gol.

Tuan rumah tersentak dengan jaringan awal skuad The Fighters pada minit ke-22 selepas berlaku kekalutan di depan gol ketika sepakan sudut.

Kesempatan itu diambil Norshahrul Idlan Talaha, yang merembat bola menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Namun, tuan rumah bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-26 selepas sepakan sudut Safiq tepat kepada Mohd Fadhli yang menanduk kemas menewaskan Mohd Farizal.

Seharusnya gol kedua menjelma buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-31 selepas bola rembatan Gonzalo Cabrera yang mengelirukan hampir memerangkap Mohd Farizal tetapi tersasar ke kiri tiang gol.

Pada babak kedua, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang apabila masing-masing kerap melancarkan gerakan bagi menambah jaringan namun dipatahkan oleh benteng pertahanan sama ada FELDA United mahupun JDT.

Malah peluang terbaik tuan rumah dipersia-siakan Jeronimo Barrales pada minit ke-56 apabila sekadar menanduk sipi selepas menerima bola umpanan Azammuddin Akil.

Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-59 selepas pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri melayangkan kad merah kepada Hasni Zaidi Jamian selepas mengutip dua kad kuning kerana mengasari pemain gantian Muhd Safawi Rasid.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya tuan rumah untuk mencipta gol kedua pada minit ke-62 apabila rembatan kaki kiri Cabrera menewaskan Mohd Farizal hasil bola umpanan Azammuddin.

Tindakan Mohd Farizal yang keluar dari posisi pada minit ke-64 memakan diri sendiri apabila gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyaksikan Brian Fereirra yang tidak dikawal mudah menolak bola masuk ke gawang yang kosong untuk memastikan kemenangan milik skuad kendalian Benjamin Mora.

16 dibaca
Berita Harian X