Jumaat, 27 Januari 2017 | 11:08pm
PEMAIN Selangor, Francis Forkey Doe (kiri) diasak pemain Melaka United, Khairu Azrin pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.. - Foto Osman Adnan

Liga Super: Selangor, Melaka United terikat di Selayang


PEMAIN Selangor, S Veenod (atas) diasak pemain Melaka United, Ahmad Khuzaimi Pie pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini. Keputusan seri 1-1. - Foto Osman Adnan **240791

SELAYANG: Hasrat Selangor untuk meneruskan rentak kemenangan di gelanggang sendiri tidak kesampaian selepas terikat 1-1 dengan pendatang baharu Liga Super, Melaka United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Selangor yang berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di stadium sama pada perlawanan pertama Sabtu lalu kini mengumpul empat mata selapas dua perlawanan.

Bagi Melaka United pula, ia mungkin adalah permulaan yang baik buat skuad Hang Tuah dalam saingan Liga Super musim ini selepas perlawanan pertama dengan Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lalu ditunda.

Perlawanan babak pertama tampak menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan Melaka United hampir berada di depan pada minit ke-16, namun sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee diselamatkan penjaga gol, Norazlan Razali.

Peluang terbaik Selangor muncul pada minit ke-36 menerusi rembatan deras S Veenod yang berjaya di tepis penjaga gol Melaka United, Badrulzaman Abd Halim.

Bersambung babak kedua, perlawanan terus rancak dan Selangor berjaya melakukan beberapa percubaan termasuk dari Adam Nor Azlan dan Francis Forkey Doe pada minit ke-58 dan 60 yang kedua-duanya berjaya diselamatkan Badrulzaman.

Bagaimanapun, Melaka United terlebih dahulu memecah kebuntuan selepas rembatan deras Muhammad Khairul Azrin Khazali dari luar kotak penalti pada minit ke-69 gagal diselamatkan Norazlan.

Tindakan jurulatih Selangor, P Maniam memasukkan Victor Stelian Astafei pada minit ke-53 berbaloi apabila pemain itu meledak gol penyamaan buat The Red Giants ketika perlawanan berbaki sembilan minit.

Malah, Selangor hampir mendapat gol kemenangan pada minit ke-90, namun tandukan Razman Roslan yang berpunca dari sepakan sudut sedikit melepasi palang gol dan keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat.

14 dibaca
Berita Harian X