Jumaat, 27 Januari 2017 | 10:38pm
RAFAEL Nadal meraikan kemenangannya selepas menewaskan Grigor Dimitrov pada pusingan separuh akhir Terbuka Australia di Melbourne, hari ini. - Foto EPA

Terbuka Australia: Nadal, Federer berentap di final


RAFAEL Nadal bersalaman dengan Grigor Dimitrov selepas memenangi pusingan separuh akhir Terbuka Australia di Melbourne, hari ini. - Foto Reuters

MELBOURNE: Rafael Nadal menepati ramalan apabila menewaskan Grigor Dimitrov dalam saingan lima set untuk menempah final menentang Roger Federer dalam Terbuka Australia, Ahad ini.

Nadal melengkapkan kemaraan dengan kemenangan 6-3, 5-7, 7-6 (5), 6-7 (4), 6-4 dalam saingan separuh akhir yang berlangsung selama empat jam 56 minit.

Federer dan Nadal masing-masing baru pulih daripada kecederaan dan kemaruk memburu kejayaan selepas ketandusan gelaran major sejak pertengahan 2014.

Pertemuan Nadal dan Federer itu adalah pertembungan kali kesembilan dalam final Grand Slam.

Nadal, yang cedera pergelangan tangan musim lalu tersingkir awal dalam Terbuka Australia dan kini berada di ranking kesembilan dunia, manakala Federer, yang berehat enam bulan akibat cedera lutut kiri menghuni raking ke-17. - AGENSI

Berita Harian X