Jumaat, 27 Januari 2017 | 7:39pm

Dasar keterbukaan kaum, agama diperjuangkan Tok Nan diteruskan


KETUA Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg. - Foto Che Rani Che Din

PETRA JAYA: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg memberi jaminan dasar toleransi kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak, yang diperjuangkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akan diteruskan oleh kepimpinannya.

Malah, katanya, dasar itu, yang diperjuangkan Adenan atau lebih dikenali sebagai Tok Nan, menjadi teras kekuatan utama kehidupan harmoni rakyat negeri ini sehingga dikagumi di peringkat antarabangsa.

"Seperti ditegaskan Tok Nan, kita juga bersetuju bahawa generasi masyarakat Cina yang menghuni Sarawak pada hari ini tidak seharusnya dilabelkan sebagai 'pendatang' kerana mereka juga sebahagian daripada rakyat Sarawak.

"Sarawak adalah negeri yang semua kaum boleh bernaung dan saling menghormati antara satu sama lain, biarpun berbeza budaya, tradisi dan agama," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina, hari ini.

Abang Johari berkata, budaya kunjung-mengunjung dan rumah terbuka bersempena perayaan tertentu perlu diteruskan sebagai wadah pengukuhan toleransi kaum dan agama di Sarawak.

"Sukar untuk menolak peranan penting masyarakat Cina dari sudut ekonomi dan politik di negeri ini.

"Kepintaran mereka berniaga, visi dan kerajinan telah meletakkan masyarakat ini berada dalam barisan hadapan dalam perniagaan, perdagangan dan industri di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, perniagaan dan industri yang diasaskan masyarakat itu sejak sekian lama menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada negeri.

Justeru, Abang Johari memberi jaminan kerajaan negeri di bawah kepemimpinannya akan terus mengamalkan dasar mesra komuniti peniaga dan pelabur seperti yang diamalkan oleh pimpinan terdahulu.

"Kita berterima kasih kepada masyarakat Cina di negeri ini kerana kepercayaan dan keinginan mereka untuk terus bekerja dengan masyarakat lain dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan perkongsian kuasa.

"Tiada cara lain untuk kita bergerak ke hadapan kecuali untuk bekerja bersama-sama untuk kepentingan negeri dan rakyat.

"Jangan kita lupa bahawa masyarakat Cina adalah antara yang pertama untuk tampil ke hadapan untuk menyokong kerajaan campuran berdasarkan konsep perkongsian kuasa pada 1970," katanya.

Esok, Abang Johari dijadualkan menghadiri tradisi rumah terbuka anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebelum berkunjung ke kediaman pemimpin masyarakat dan komuniti perniagaan.

Berita Harian X