Jumaat, 27 Januari 2017 | 5:20pm

Cadang kantin sekolah di bawah kelolaan koperasi


PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (tengah) beramah mesra bersama peserta yang hadir selepas majlis Dialog Pembangunan Perniagaan Koperasi Sekolah dan Taklimat Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2017 di Hotel Aliya, Klang. - Foto Faiz Anuar

KLANG: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) mencadangkan supaya pengurusan semua kantin sekolah diletakkan di bawah kelolaan koperasi masing-masing.

Ia sejajar mencapai sasaran 50 koperasi sekolah memperoleh pendapatan RM1 juta setahun menjelang tahun 2020 berbanding hanya empat koperasi sekolah pada ketika ini.

Antaranya, koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang; dan SMK Sibu, Sarawak.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata sekiranya koperasi sekolah diberi mandat untuk menguruskan kantin, sasaran itu akan dapat dicapai dengan mudah.

"Kami akan mencadangkan kepada kerajaan agar kantin sekolah diuruskan oleh koperasi supaya lebih banyak manfaat dapat dirasai oleh semua pihak.

"Pengusaha kantin tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mengganggu pengusaha sedia ada. Sebaliknya, jika ini dapat direalisasikan, ia bakal mempercepatkan kita mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Pada masa sama, ahli koperasi yang terdiri daripada pelajar sekolah boleh mencari pendapatan sampingan dengan bekerja di kantin ketika rehat," katanya ketika ditemui pada Taklimat Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS 2017), di sini, hari ini.

Abdul Fattah berkata, setakat ini, lebih 30 buah koperasi sekolah di negeri ini mencapai perolehan lebih RM500,000 hasil daripada jualan peralatan dan kelengkapan sekolah.

11 dibaca
Berita Harian X