Jumaat, 27 Januari 2017 | 12:25pm

BSN, CGC sedia pembiayaan perusahaan kecil

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) memeterai perjanjian Jaminan Portfolio (PG) hari ini dalam menyediakan pembiayaan bernilai RM50 juta kepada perusahaan mikro.

Ia adalah PG pertama di Malaysia untuk mendokong segmen perniagaan mikro.

Di bawah skim itu, perusahaan mikro boleh memohon sama ada kemudahan pembiayaan Islam atau konvensional dari BSN dari sekurang-kurangnya RM5,000 sehingga maksimum RM50,000 pada tempoh tetap selama lima tahun.

CGC akan menyediakan jaminan sehingga 70 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan oleh bank melalui Skim Jaminan Portfolio CGC.

Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt, berkata menerusi usahasama itu, CGC menyasarkan untuk membiayai kira-kira 2,500 perniagaan mikro Bumiputera dan bukan Bumiputera di seluruh negara.

"Kami yakin melalui perkongsian bersama BSN ini akan membuka lebih banyak peluang bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam meningkatkan perusahaan mikro ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada majlis memeterai perjanjian PG di sini, hari ini.

Majlis memeterai perjanjian itu disaksikan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz.

Hadir sama, Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Berita Harian X