Jumaat, 27 Januari 2017 | 8:05am

Platform pamer model terkemuka


NISSAN pamer model terbaharu, Pulsar dan Note.

ACARA permotoran terbesar Singapura, Singapore Motorshow 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 12 hingga 15 Januari lalu menjadi medan terbaik kepada pengeluar automotif terkemuka bersaing memperkenalkan pelbagai model baharu yang akan memasuki pasaran tahun ini.

Acara tahunan itu membariskan kebanyakan jenama terkenal dunia seperti Land Rover, Renault, Subaru, Infiniti, Volvo, Volkswagen, Mitsubishi, ISUZU, Honda, Toyota, Nissan, Ford, BMW, Hyundai, Peugeot, Maxus, Kia dan Citroen.

Malah, Subaru turut melancarkan model segmen C, Subaru Impreza baharu yang ditawarkan di buat kali pertama menggunakan teknologi terkini Subaru Global Platform.

Model generasi kelima itu, dikuasakan dengan kombinasi Enjin Subaru Boxer, fungsi pacuan semua roda dan sistem keselamatan unik.

Subaru Impreza ditawarkan dalam dua varian iaitu Impreza 1.6i-S dan Impreza 2.0i-S yang masing-masing didatangkan dengan dua pilihan iaitu empat dan lima pintu.

Ia menggunakan enjin Port Injection Naturally Aspirated yang menjana 114PS pada 5,600 rpm (varian 1.6i-S) dan 153PS pada 6,000 rpm (varian 2.0i-S).


TOYOTA C-HR, SUV dengan reka bentuk menarik.

Selain itu, Honda turut memperkenalkan model NSX baharu yang dilengkapi ciri hibrid sport, model supercar pertama yang didatangkan dengan pemanduan semua roda Super Handling.

Honda NSX baharu didatangkan dengan rekaan unik di mana ia memacu badan luaran yang ergonomik dan dilengkapi dengan beberapa teknologi pertama dunia yang meningkatkan kuasa dan prestasinya.

Dengan enjin 3.5 liter V6 Pengecas Turbo Berkembar DOHC 24 valves ia menghambur 507PS pada 6,500 hingga 7,000 rpm dan tork 550 Nm pada 2,000 hingga 6,000 rpm.

Dari segi prestasi, Honda NSX mampu memecut ke paras maksimum 304 kilometer sejam (km/j) dengan daya pecutan 0 hingga 100 kilometer (km) dalam masa 3.6 saat.

Kia juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan model kenderaan pelbagai guna (MPV), Carens (dikenali sebagai Citra bagi pasaran Malaysia). Lebih menarik, model dengan kapasiti 1.7L ini ditawarkan dengan enjin diesel CRDi dengan 141PS pada 4,000 rpm dan tork 340Nm pada 1,750 rpm dan pecutan maksimum 189 km/j.

Selain Carens, Kia juga memperkenalkan model Niro yang menggunakan enjin Kappa 1.6 GDI berkuasa 1.6L yang mampu menghambur 141PS pada 5,700 rpm dan tork 265 Nm pada 1,000 rpm.

Renault juga memperkenalkan Megane sedan yang tampil dengan rekaan segar berbanding model sport terdahulu tetapi kapasiti enjinnya lebih kecil iaitu 1.5L.


PAMERAN Automotif Singapura disertai kebanyakan jenama terkenal dunia.

Menggunakan enjin Privilege 1.5T dCi pengecas turbo, ia turut menawarkan suntikan terus dengan Common Rail yang menjana 110hp dan tork 250 Nm.

Hyundai Elantra 2017 turut diperkenalkan pada Singapore Motorshow 2017 yang ditampilkan dengan gaya lebih segar bagi jenama dari Korea Selatan itu.

Penampilannya berbeza dengan model terdahulu di mana ia tampil dengan rekaan lebih segar bagi model utama Hyundai.

Nissan pula memperkenalkan Nissan Pulsar, kereta keluarga hatchback dan model mini MPV, Note.

Toyota dengan model C-HR, model kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tampil dengan rekaan menarik yang mampu meningkatkan keupayaan jentera dari Jepun itu.

Pengeluar lain yang turut menjadikan Singapore Motorshow 2017 sebagai medan memperkenalkan model baharu ialah Citroen dengan DS 3 Cabrio, Audi R8 Spyder dan Suzuki Ignis.

Info:
Singapore Motorshow 2017

  • 12 - 15 Januari 2017
  • Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec
  • Lebih 200 kereta dipamerkan
  • Lebih 16 pengeluar automotif memperkenalkan model baharu
28 dibaca
Berita Harian X