Khamis, 26 Januari 2017 | 8:24pm

Pemandu bas ada 29 saman, waran tangkap

 

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas ekspres dikesan mempunyai 29 saman tertunggak, termasuk lima waran tangkap ketika diperiksa dalam Op Kenderaan Perdagangan sempena Op Selamat 10 Tahun Baharu Cina 2017 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), hari ini.

 


KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata pemandu bas berusia 63 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

 

"Kita mahu pastikan pemandu bas sentiasa kompeten dan boleh menjalankan tugas dengan baik tanpa membahayakan nyawa penumpang serta pengguna jalan raya lain.

 

"Justeru, kita minta pengusaha bas supaya lebih bertanggungjawab memantau pemandu bas masing-masing agar tidak melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya, sekali gus membahayakan nyawa penumpang," katanya kepada pemberita, di sini, sebentar tadi.

 

Mohd Nadzri sebelum itu mengetuai operasi yang disertai 46 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

 

Operasi bermula jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari itu dijalankan secara bersepadu bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan ujian saringan air kencing serta ujian tahap alkohol ke atas 29 pemandu bas pada operasi itu, bagaimanapun keputusan mendapati semuanya negatif.

 

"Pada operasi ini, kita turut menyita sebuah kereta mewah jenis Audi, yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan mengubah suai nombor pendaftaran sah kepada SAS 2 SAS.

 

"Pemandunya mendakwa dia bukan pemilik kenderaan itu, sebaliknya mekanik kepada pemilik sebenar kereta itu," katanya.

  

Dalam pada itu, sebanyak 56 saman dikeluarkan kepada pemandu bas atas beberapa jenis kesalahan dengan jumlah keseluruhan 169 bas diperiksa sepanjang operasi.

12 dibaca
Berita Harian X