Khamis, 26 Januari 2017 | 6:53pm

Bas ekspres tambahan perlu dapat kelulusan SPAD


OPERASI Kenderaan Perdagangan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena Op Selamat 2017 anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pengusaha yang menggunakan bas mereka sebagai bas ekspres tambahan sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina kali ini perlu mendapatkan Lesen Perubahan Sementara (LPS) sebelum memulakan sebarang perjalanan.

Ini bagi memastikan bas serta penumpang dilindungi insurans jika berlaku perkara tidak diingini.

Ketua Jabatan Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata setakat ini, pihaknya baru meluluskan 246 LPS yang dipohon oleh 81 pengusaha.

Katanya, pihak SPAD menerima permohonan untuk 280 buah bas tetapi hanya 246 LPS yang diluluskan.

"Permohonan selebihnya terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kriteria dan peraturan LPS.

"Kita percaya masih ramai pengusaha yang akan menggunakan bas ekspres, bas sekolah, bas pekerja, bas catar atau bas henti-henti sebagai bas ekspres tambahan, namun belum membuat permohonan LPS.

"SPAD masih membuka permohonan tetapi bas terbabit mesti memenuhi peraturan LPS yang ditetapkan.

"Sebagai contoh, bas itu mestilah memenuhi keperluan keselesaan penumpang dan selamat digunakan untuk perjalanan jauh," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengenai jumlah bas, Che Hasni berkata, berdasarkan perayaan sama tahun lalu, lebih kurang 500 bas digunakan untuk tujuan itu.

Difahamkan, terdapat sekurang-kurang 6,000 buah bas ekspres disediakan untuk perjalanan seluruh negara.

Pengusaha terpaksa menambah jumlah bas dengan menyediakan khidmat bas ekspres tambahan bagi menampung permintaan tinggi musim perayaan.

Beliau sebelum itu menyertai Operasi Kenderaan Perdagangan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena Op Selamat 2017 anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Operasi yang diketuai Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berita Harian X