Khamis, 26 Januari 2017 | 6:23pm

ATM kerah 6,000 anggota bantu mangsa banjir


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media lawatan mangsa banjir di Sekolah Agama Kampung Jawa, Segamat. - Foto Adi Safri

SEGAMAT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan anggota Kor Kesihatan Diraja bagi menyediakan bantuan perubatan asas kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kira-kira 6,000 pegawai dan anggota ATM sudah diarahkan memberi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Selain itu katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut meletakkan anggota dan aset dalam keadaan bersiap sedia sekiranya diperlukan bagi menghadapi banjir gelombang kedua itu.

"Dua pasukan perubatan hadapan masing-masing kini ditempatkan di Rantau Panjang dan Pasir Mas di Kelantan serta di Segamat, Johor. Selain itu, sebuah hospital medan tahap satu juga dibina di pusat pemindahan banjir di Segamat.

"Selain itu, ATM turut menempatkan dapur medan bagi membantu urusan pentadbiran dan penyediaan makanan di pusat pemindahan banjir. Kita juga meletakkan dua unit dapur medan di Rantau Panjang; lima unit di Segamat dan satu unit lagi di Sabak Bernam, Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Agama Kampung Jawa di sini, hari ini. Yang turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin.

Hishammuddin berkata, pihaknya juga bersiap sedia melaksanakan bantuan selepas banjir bagi meringankan mangsa yang terjejas.

Katanya, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) turut diarah membantu membaik pulih jambatan yang rosak akibat banjir.

Berita Harian X