Khamis, 18 Disember 2014 | 5:30pm
PASUKAN Harimau Malaya keluar dari balai ketibaan KLIA jam 3.30 petang setibanya dari Bangkok selepas perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki, malam tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin
JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh bersama anak buahnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang ini selepas tewas kepada Thailand 0-2 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Bangkok, malam tadi. - Foto BERNAMA
PEMAIN pertahanan skuad Harimau Malaya, Mohamad Muslim Ahmad (kiri) dan pemain tengah Baddrol Bakhtiar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini selepas beraksi pada final pertama Piala AFF Suzuki 2014 menentang Thailand, malam tadi.

Piala AFF: Fadhli Shas mohon maaf kesilapan

SEPANG: Pemain pertahanan, Fadhli Shas tampil memohon maaf kepada seluruh penyokong Harimau Malaya berikutan kekalahan 2-0 skuad negara kepada Thailand, malam tadi.

Pemain Johor Darul Ta'zim itu menjelaskan tindakannya menjatuhkan pemain Thailand dalam kotak penalti pada pertemuan final pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Rajamangala, malam tadi adalah secara spontan dan tidak disengajakan.

"Maaf kepada seluruh penyokong Harimau Malaya kerana tindakan yang tidak sengaja saya malam tadi memberi sepakan penalti dan gol pertama kepada Thailand.

"Sebagai pemain, saya sangat dan rakan sepasukan yang lain berharap seluruh penyokong terus memberi sokongan padu untuk kami bangkit di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini," katanya kepada pemberita sejurus skuad Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada jam 2.17 petang tadi.

Skuad negara pimpinan Dollah Salleh pulang ke tanah air, hari ini dan akan bersiap sedia bertemu Thailand dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tindakan Fadhli Shas menjatuhkan Adisak Kraisron paa minit ke-71 membuka ruang kepada lawan membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti oleh Charyl Chappuis dan wajah cabaran skuad negara berubah selepas itu.

Selang 15 minit kemudian, Thailand mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua hasil jaringan Kroekrit Thaweekarn.

Sementara itu penyerang Harimau Malaya, Mohd Amri Yahyah berharap mereka dapat menjaringkan gol di awal permainan pada aksi final kedua, Sabtu ini.

"Saya harap dengan semua usaha gigih yang ditunjukkan rakan pemain, kita akan dapat menjaringkan gol di awal permainan nanti," katanya.

Berita Harian X