Khamis, 26 Januari 2017 | 10:55am

Bekas CEO TH Heavy Engineering didakwa pecah amanah RM2.5 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE), didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lima tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM2.5 juta.

Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Latfi, 52, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Tingkat 23, Tower B, Menara UOA, Bangsar, Nombor 5, Jalan Bangsar Utama 1, di sini, antara Jun dan Oktober 2013.


NOR Badli Munawir (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM2.5 juta. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.

THHE adalah syarikat bersekutu Tabung Haji yang mana agensi itu mempunyai 30 peratus kepentingan ekuiti.

23 dibaca
Berita Harian X