Rabu, 25 Januari 2017 | 2:46pm
HIASAN dalaman Nissan Serena S-Hybrid. - Foto Asyraf Hamzah

Serena MPV praktikal


NISSAN Serena S-Hybrid 2.0L IMPUL Premium Highway Star. - Foto Asyraf Hamzah

KENDERAAN pelbagai guna (MPV) sememang menjadi pilihan kepada keluarga besar kerana ia dapat memuatkan sehingga lapan penumpang.

Langkah Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan Nissan Serena S-Hybrid sememang tepat pada masanya kerana ia sangat sesuai sebagai kereta keluarga.

Penulis pernah memandu uji Serena S-Hybrid dua tahun lalu dan kini ETCM memberi peluang mencuba Nissan Serena S-Hybrid Talaan IMPUL yang menjadikan MPV lebih versatil serta popular itu tampil lebih sporty dan sofistikated.

Nissan Serena S-Hybrid Talaan IMPUL kini didatangkan dalam dua varian tambahan; 2.0L IMPUL Highway Star, berharga RM145,578.59 dan 2.0L IMPUL Premium Highway Star, berharga RM155,863.43 (harga di atas jalan termasuk GST, tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia).

Rekaan model dengan talaan IMPUL menambah 'perisa' model ini dan penampilan eksklusif itu ditingkatkan lagi dengan Spoiler Bampar Belakang, Skirt Sisi dan Spoiler Bumbung.

Dengan penampilan baharu ini, ia sekali gus memberikan MPV ini profil yang bergaya dan menyerlahkan perinciannya yang karismatik.

Konsep reka bentuk IMPUL disempurnakan dengan IMPUL Chrome Sport Ducts dan Kemasan Bonet Krom yang meningkatkan lagi tahap daya tarikan estetiknya.

Nissan Serena S-Hybrid Talaan IMPUL menjanjikan kawalan yang selamat menerusi Rim Aloi IMPUL Aura SX-50 bersaiz 18 inci dengan kelabu metalik dan kemasan berkilat yang dibalut bersama tayar MICHELIN Pilot Sport 3.

Eksklusif untuk 2.0L IMPUL Premium Highway Star, Serena S-Hybrid menawarkan tempat duduk kombinasi kulit yang dijahit dengan bentuk permata bersama logo IMPUL pada tempat duduk hadapannya.

Nissan Serena S-Hybrid memang amat popular dalam kalangan keluarga di Malaysia. Untuk disesuaikan dengan trend sekarang di mana MPV ditala dengan lebih gaya dan sofistikasi.


NISSAN Serena S-Hybrid 2.0L IMPUL Premium Highway Star. - Foto Asyraf Hamzah

IMPUL ialah sebuah syarikat talaan untuk kenderaan Nissan dari Jepun yang kaya dengan warisan sukan bermotor serta meningkatkan aspek estetik dan prestasi model-model Nissan menerusi aksesori yang dihasilkannya. Pencapaian sukan permotoran terkini bagi pasukan IMPUL adalah tempat kedua dalam Super GT 2015 dalam kelas GT500 dengan Calsonic IMPUL GT-R.

Berdaya gaya, reka bentuk dan penampilan baharu ini, ia seperti satu transformasi kepada MPV yang tidak hanya terkenal sebagai kereta keluarga besar.

Pada bahagian dalaman, versi talaan IMPUL ini masih lagi seiras dengan model standard dengan papan pemuka dilengkapi dengan paparan instrumen digital sepenuhnya yang diletakkan tinggi termasuk paparan takometer, penggunaan bahan api dan meter kelajuan sebagai watak utama.

Skrin utama bersaiz 6.5-inci menjadi platform kepada sistem infotaimen dan navigasi TCAT selain ditampilkan dengan fungsi pemain DVD dan hubungan iPod, USB, Bluetooth dan AUX yang ditempatkan berada di konsol tengah, di bawah liang penghawa dingin utama.

Panel kawalan penghawa dingin automatik diletakkan di bahagian bawah, manakala pada bahagian dasar konsol tengah berkenaan pula ditempatkan tuil penukar gear serta suis penghidup enjin.


HIASAN dalaman Nissan Serena S-Hybrid. - Foto Asyraf Hamzah

Serena mempunyai ruang storan yang agak banyak termasuk di bawah panel instrumen, glove box pada bahagian atas dan bawah sebelah penumpang, ruang storan terbuka sebelah kiri, pemegang cawan berkembar di konsol tengah, dan ruang storan di dalam perehat tangan bahagian tengah.

Meja lipat kecil lengkap dengan pemegang cawan juga dipasang pada tempat duduk barisan pertama untuk kegunaan penumpang di tempat duduk barisan kedua.

Antara ciri lain yang turut dilengkapi pada MPV ini adalah roda stereng balutan kulit dengan butang Kawalan Kelajuan, sistem kunci pintar I-Key, pintu gelangsar belakang berkuasa untuk kedua-dua belah, skrin LCD 10.1-inci untuk kabin belakang, liang penghawa dingin sisi untuk tempat duduk baris kedua dan ketiga, panel kawalan penghawa dingin berasingan untuk kabin belakang serta pelindung matahari pada tingkap tempat duduk baris kedua.

Untuk model premium talaan Impul ini, ia ditawarkan dengan tempat duduk balutan kulit hitam keseluruhan dengan sulaman logo Impul istimewa.

Bercakap tentang tempat duduk, banyak konfigurasi yang boleh digunakan untuk menghasilkan ruang dan menambah keselesaan penumpang.

Kerusi barisan kedua boleh digelangsarkan kehadapan/kebelakang dan tempat duduk barisan ketiga boleh dilipat kebahagian sisi.

Apa yang menarik, perehat tangan bahagian hadapan jika diangkat bahagian atasnya, akan mengubah konfigurasi tempat duduk barisan pertama menjadi 'bench seat'.

Perehat tangan juga boleh digelangsarkan ke bahagian tengah tempat duduk barisan kedua, membolehkan barisan berkenaan diduduki oleh tiga orang (ia turut dilengkapi dengan tali pinggang keledar untuk penumpang tengah).

Secara keseluruhan, Serena mampu menempatkan lapan orang penumpang (termasuk pemandu) dalam satu-satu masa, dan konfigurasi kesemua tempat duduknya boleh diubah dengan 14 mod.

Walaupun semua tempat duduk dibangunkan, Serena S-Hybrid masih dilengkapi dengan ruang but tambahan pada bahagian lantai ruang kargo tidak seperti MPV lain.

Ruang tambahan berkenaan boleh dibuka dengan mudah walaupun tempat duduk barisan ketiga tidak dilipat

Model talaan IMPUL ini masih mengekalkan unit jentera asal Serena S-Hybrid tanpa apa-apa perubahan iaitu dijana oleh enjin petrol MR20DD dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 147 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 210 Nm pada takat 4,400 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi automatik Xtronic CVT, memacu roda hadapan.

Sudah pasti pemilikan Nissan Serena S-Hybrid amat berbaloi untuk mereka yang memiliki keluarga besar kerana ia cukup selesa dan praktikal untuk kegunaan terutamanya pulang ke kampung halaman apabila musim cuti tiba.

Info:

Nissan Serena S-Hybrid (2.0L) Talaan IMPUL

* IMPUL Aerokit Lengkap - RM6,360

* 18" Rim Aloi IMPUL Aura SX-50 (4 unit) - RM5,830

* 18" tayar MICHELIN Pilot Sport 3 (225/45 R18) (4 unit) - RM3,339

* IMPUL Chrome Sport Ducts - RM1,113

* Kemasan Bonet Krom IMPUL - RM848

50 dibaca
Berita Harian X