Rabu, 25 Januari 2017 | 2:31pm

Polis rampas dadah RM1.3 juta

MOHD Fauzi Pilus. - Foto Owee Ah Chun

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan seorang kontraktor memproses dadah dan merampas syabu bernilai RM1.3 juta dalam serbuan di Paya Terubong di sini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 3.20 petang itu, suspek berusia 50 tahun didapati menjadikan sebuah rumah teres tiga tingkat yang lengkap dengan makmal dan peralatan memproses dadah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Gee Lye, berkata pemeriksaan di salah sebuah bilik menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan syabu dianggarkan seberat 555 gram dan minyak methamphetamine seberat 47 kilogram.

"Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai dua rekod jenayah dan dia direman sehingga Ahad ini, bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Gee Lye berkata, suspek dipercayai baru terbabit dalam kegiatan memproses dadah kira-kira sebulan lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X