Rabu, 25 Januari 2017 | 11:01am

Paras sungai di Perak meningkat


ZAINOL Fadzi meninjau keadaan banjir di Kampung Guru Degong di Langkap sebentar tadi.

IPOH: Paras air kebanyakan sungai di Perak menunjukkan peningkatan setiap hari, sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan lebih ramai penduduk terjejas akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata sehubungan itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah lebih kerap menyalurkan maklumat paras air sungai kepada Bilik Gerakan Bencana Daerah untuk mengambil tindakan perlu.

Beliau berkata, berikutan perkembangan itu, orang ramai yang tinggal berdekatan sungai-sungai di negeri berkenaan perlu sentiasa berwaspada untuk berdepan sebarang kemungkinan.

"Pihak JPS memaklumkan paras air sungai-sungai meningkat setiap hari. Saya sendiri akan memaklumkan pada Mesyuarat Exco hari ini mengenai pola kenaikan paras sungai.

"Selain itu pasti juga akan dibincangkan bagaimana penyaluran bantuan dan soal kebajikan kepada mangsa banjir," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Zainol Fadzi berkata, sejak dua hari lalu, semua Bilik Gerakan Bencana Daerah bagi tujuan banjir sudah diaktifkan atas arahan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, dalam perjalanan pulang dari lokasi banjir ke sini sebentar tadi, beliau melihat paras air beberapa sungai dan lombong lebih tinggi.

Katanya, ini termasuk Sungai Labu yang menyebabkan air melimpah melalui ban rendah masuk ke Kampung Guru Degong di Langkap.

Berita Harian X