Rabu, 25 Januari 2017 | 8:17am

Tiada siapa mampu pecahkan rekod Rooney: Ferguson


ALEX Ferguson bersama Wayne Rooney.- Foto Daily Express

LONDON: Alex Ferguson percaya rekod jaringan pemain Manchester United, Wayne Rooney sebagai menjangkaui usia dan sukar dipecahkan.

Penyerang England berusia 31 tahun itu menjaringkan gol ke-250 buat United apabila meledak menerusi sepakan percuma bagi menyelamatkan pasukan ketika terikat 1-1 dengan Stoke City di tempat lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan Rooney pada Sabtu lalu itu melepasi rekod 249 jaringan United sebelum ini yang dilakukan legenda England dan pemenang Piala Dunia, Bobby Charlton pada tahun 1973.

Namun, isu masa depan kapten United itu masih hangat diperbincangkan di Old Trafford, ketika khidmat bekas penyerang Everton itu tampak kurang diperlukan pengurus, Jose Mourinho.

Namun Ferguson percaya tempat Rooney dalam sejarah United masih lagi terjamin.

"Saya fikir ia sudah bertahan untuk 44 tahun dan apabila Wayne Rooney menyertai kelab, saya tidak pernah membayangkan akan ada pemain yang mampu mengatasi rekod Sir Bobby," kata Ferguson.

"Jadi pencapaiannya luar biasa. Ia menakjubkan, 200 permainannya itu kurang daripada rekod aksi Bobby dan itu menjadikannya lebih mengagumkan," kata bekas pengurus United berkenaan yang membawa Rooney ke Old Trafford dari Everton pada 2004.

"Saya tidak fikir (ada pemain akan mengatasi Rooney). Saya tidak berkata tidak, tetapi jika dilihat kepada bola sepak moden hari ini, Manchester United adalah antara beberapa kelab yang mampu mengekalkan pemain lebih 10 tahun.

"Namun, dalam era moden ini, kamu lihat ia sudah semakin kurang pemain kekal untuk tempoh berkenaan.

"Contohnya, Jose (Mourinho) menamakan pemain muda, Marcus Rashford dan dia perlu meledak jaringan lebih 20 gol semusim untuk tempoh 10 tahun akan datang dan ia pasti sukar, " katanya.

Rooney pernah muncul pemain bola sepak remaja termahal sepanjang zaman apabila Ferguson mengikatnya dari Everton dengan nilai sekitar 30 juta pound (RM166 juta). - AFP

38 dibaca
Berita Harian X