Rabu, 25 Januari 2017 | 12:07am

Zahiril kesal tawaran berlakon ikut jumlah pengikut laman sosial artis

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahiril Adzim, 33, kesal ada syarikat penerbitan yang mengendalikan uji bakat mencari pelakon baharu menjadikan jumlah pengikut laman sosial sebagai kriteria pemilihan peneraju watak, berbanding skil lakonan.

Zahiril berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu sudah menjadi aliran bagi kebanyakan syarikat produksi drama menilai jumlah pengikut laman sosial seperti Instagram sebagai prasyarat tawaran watak, hingga dikhuatiri boleh merosakkan reputasi industri lakonan tempatan.

"Menjadi seorang pelakon, mereka perlu memiliki ilmu lakonan secukupnya, tidak kira daripada segi pengalaman atau ajaran di universiti... Barulah profesional dan penuh etika.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu uji bakat yang dikendalikan pihak produksi dibuat sambil lewa.

"Sudahlah bagi babak dan dialog yang tidak menguji bakat lakonan, sebaliknya jumlah pengikut di Instagram pula yang beriya-iya ditanya, sebagai penanda aras sama ada individu berkenaan layak atau tidak menjadi pelakon.


ZAHIRIL risau industri perfileman kita . - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya nampak bidang lakonan ini seperti dipermainkan," katanya kepada BH Plus.

Minggu lalu, Zahiril, yang merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Pekak pada Festival Filem Motivasi di Russia, meluahkan perasaan kecewa dengan sesetengah produksi yang lebih mementingkan rupa dan populariti berbanding bakat.

Zahiril menerusi laman Twitternya memuat naik beberapa status menyatakan rasa tidak senangnya dengan beberapa produksi yang bertanyakan 'berapa orang followers' pada sesi uji bakat pelakon.

Sementara itu, Zahiril berkata, dia tidak menyalahkan pelakon baharu yang terpilih kerana menganggap ia sudah menjadi rezeki masing-masing.

Namun, sebagai anak seni yang melalui perit-getir menjadi pelakon profesional yang baik, Zahiril risau jika suatu hari nanti, kerjaya seniman akan dipandang enteng oleh masyarakat.


ZAHIRIL Adzim pada Siri Jelajah Bas Drama Sangat TV3 & TV9 di Mahkota Parade, Banda Hilir, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad


PELAKON, Zahiril Adzim.

"Saya lihat, tempias terkena pada kami yang gigih mencari ilmu lakonan setiap hari. Saya tahu, menjadi suatu 'trend' buat mana-mana syarikat penerbitan yang ingin mencari perkara yang vital dalam mengejar jumlah tontotan atau rating.

"Tetapi jika ia tidak dicegah, bidang seni tempatan akan tampak kosong. Ia akan hanya menjadi hiburan semata-mata, sedangkan hakikatnya bidang itu boleh menjadi medium dalam mendidik masyarakat," katanya yang sedang sibuk menjalani penggambaran filem Kron, arahan Opie Zami.

INFO

- Instagram sebagai prasyarat tawaran watak dikhuatiri boleh merosakkan reputasi industri lakonan tempatan.

ZAHIRIL kesal pemilihan syarikat penerbitan bagi sesuatu watak melalui bilangan peminat laman sosial. - Foto Munira Abdul Ghani
INSTAGRAM Zahiril.
Berita Harian X