Selasa, 24 Januari 2017 | 5:56pm

Pharmaniaga jangka terima lebih 1,500 tender untuk APPL


PENGARAH Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran. - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Pharmaniaga Bhd menjangka menerima lebih 1,500 tender daripada pelbagai vendor farmaseutikal dan bukan farmaseutikal yang berpotensi bagi Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebagai sebahagian daripada perjanjian konsesi Pharmaniaga dengan KKM, syarikat farmaseutikal itu perlu melaksanakan amalan APPL e-Tender setiap tiga tahun sekali.

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, tender berkenaan terbuka kepada vendor dari dalam atau luar negara.

Katanya, APPL e-Tender bukanlah perkara baharu dan ia dilaksanakan bagi menyediakan peluang kepada vendor untuk membekalkan produk yang diperlukan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, selaku pemegang konsesi, pihaknya sama sekali tidak terbabit dalam penilaian tender dan proses pemilihan diuruskan sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

"Kami amat mengambil berat mengenai aspek integriti, keberkesanan, ketelusan dan ketepatan dalam urusan kerja kami.

"Justeru, setiap langkah dalam proses ini, sama ada menerusi dalam talian atau luar talian dipantau ketat oleh pegawai daripada KKL dan juru audit luar bagi memastikan semuanya dijamin serta dikendalikan secara telus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Operasinya, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Pengarah Logistik dan Pengedaran, Abdul Malik Mohamed.

Notis pengiklanan APPL e-Tender diterbitkan pada awal Januari dan vendor yang berminat perlu mendaftar dalam talian serta menyediakan dokumen berkaitan yang diperlukan.

Sementara itu, mengulas perancangan syarikat untuk tahun ini, Farshila berkata pihaknya akan melancarkan beberapa produk baharu berkaitan bidang perubatan onkologi, kardiovaskular dan vaksin.

"Kami berharap dapat meneruskan momentum baik yang dibuat tahun lalu dalam aspek pengeluaran produk. Kami juga mahu menambah baik perkhidmatan dalam aspek logistik dan pengedaran," katanya.

Info

* Pharmaniaga edar lebih 400 produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada lebih 2,000 lokasi di Malaysia, termasuk kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak

Berita Harian X