Selasa, 24 Januari 2017 | 3:46pm

3 tukang rumah 'terjun' bumbung selamat jiran


ANGGOTA bomba menyiasat punca kebakaran sebuah rumah di kampung Stesen, kangar, hari ini. - Foto Hafizudin Mohd Safar

KANGAR: Tindakan pantas tiga tukang rumah yang bergegas menghulur bantuan sebaik menyedari sebuah rumah berhampiran sedang terbakar di Kampung Stesen di sini, menyelamatkan nyawa penghuni kediaman itu, hari ini.

Ketiga-tiga mereka yang sedang memasang bumbung di sebuah rumah, berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun, ketika bumbung kediaman rumah mangsa sedang terbakar.

Ibrahim Sahak, 40, ketika ditemui berkata dia dan dua rakannya menyedari kepulan asap dari rumah terbabit pada kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum bergegas turun dari bumbung rumah yang sedang dibaiki kerana bimbang pemiliknya tidak menyedari kejadian itu.

"Kami terus terjun (turun) dari bumbung dan berlari ke rumah itu sebelum membawa keluar dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun.

"Api waktu itu tidaklah terlalu marak tetapi kami bimbang bahagian atas rumah yang terbakar itu akan menghempap dua kanak-kanak itu bersama bapa dan datuk saudara mereka," katanya ketika ditemui.

Ibrahim berkata, mereka bersama penduduk kampung cuba memadam kebakaran tetapi gagal.

Sementara itu, pemilik kediaman berkenaan, Mohd Nazri Mohd Akhir, 50, berkata dia hanya mengetahui rumahnya terbakar selepas tukang rumah berkenaan meluru masuk dan meminta mereka menyelamatkan diri.

"Kami tinggal lapan beranak di rumah ini, tetapi ketika kejadian hanya ada saya, anak saudara dan dua cucu saudara... kami memang tak sedar rumah sedang terbakar ketika itu dan bernasib baik mereka datang membantu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Arau, Ahmad Nor Syamsi Zainoldin, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang turut memusnahkan dua motosikal.

Nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000.

Berita Harian X