Selasa, 24 Januari 2017 | 11:47am

Mangsa banjir di Johor meningkat


KEADAAN di Kampung Kolam Air di Simpang Renggam yang mula dinaiki air kira-kira jam 4 pagi tadi menyebabkan 26 mangsa daripada 6 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Banjir di Dewan Orang Ramai Kampung berkenaan awal pagi tadi. - Foto Adnan Ibrahim

JOHOR BAHRU: Sebanyak 17 pusat pemindahan dibuka di lima daerah di negeri ini sehingga jam 6 pagi tadi, bagi menempatkan mangsa banjir.

Daerah terbabit ialah Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang, Tangkak dan Segamat dengan jumlah mangsa yang dicatatkan seramai 1,396 orang.

Di Kota Tinggi, sebanyak tiga pusat pemindahan dibuka di Dewan Serbaguna Kota Kecil, Surau Kampung Baru Sungai Mas dan Balai Kampung Tersusun Seri Delima membabitkan 838 mangsa daripada 164 keluarga.

Sebanyak dua pusat pemindahan dibuka di daerah Johor Bahru iaitu di Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru dan Sekolah Kebangsaan Nam Heng dengan jumlah mangsa seramai 83 orang daripada 21 keluarga.

Di Kluang, sebuah pusat pemindahan dibuka di Dewan Kampung Parit Hassan yang menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, di daerah Tangkak, dua pusat pemindahan dibuka dengan menempatkan 12 mangsa dari tiga keluarga, manakala di Segamat pula sembilan pusat pemindahan dibuka dengan menempatkan 459 mangsa membabitkan 118 keluarga.

Di Simpang Renggam pula, dua penempatan sementara dibuka susulan peningkatan paras air mendadak di Sungai Benut.

Pegawai Daerah Kluang, Mohd Noh Ibrahim, berkata pusat sementara itu dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Parit Hassan dan Dewan Orang Ramai Kampung Kolam Air, yang keseluruhan membabitkan 34 mangsa daripada lapan keluarga.

Berita Harian X