Selasa, 24 Januari 2017 | 12:11am
KOLEKSI busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KOLEKSI busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KOLEKSI busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KOLEKSI busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Rona merah lambang jiwa berani


KOLEKSI busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Keindahan hamparan gaun pengantin, koleksi RoseZella ilham ciptaan Kashfi Zulkufli, begitu mempesona dan menawan hati.

Selain direka indah dan eksklusif, rekaan anak kelahiran Kelantan ini tampil dengan gaya serta ciri yang cukup menarik,

Ini kerana koleksi busana perkahwinan ditampilkan praktikal dan begitu ekonomi, sekali gus mengelakkan pembaziran. Istimewanya, ia bukan saja untuk persalinan pada hari bahagia tetapi boleh digayakan dalam pelbagai gaya, sama ada disarungkan pada majlis santai atau formal.

Kashfi berkata, sesuai dengan ekonomi negara tidak begitu memberangsangkan, tercetus idea menghasilkan koleksi perkahwinan yang praktikal seumpama itu.


KOLEKSI busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya selalu mendengar rungutan mempelai, beli mahal tetapi akhirnya disimpan dalam almari selepas digunakan pada majlis perkahwinan. Jadi, saya lahirkan koleksi perkahwinan yang boleh digunakan selepas majlis kahwin. Uniknya RoseZella, ia boleh dibuka di bahagian pinggang dan menjadi sepasang gaun polos ringkas," katanya.

Kata Kashfi, tidak perlu takut untuk menempah koleksinya kerana harga ditawarkan bagi persalinan perkahwinan ini cukup berbaloi.

Hadiah untuk wanita

Menariknya, hasil rekaan busana pengantin anak kelahiran Kelantan ini membawa seribu satu pengertian dan moral kepada masyarakat.

Menerusi ilham terbaharu itu, Kashfi cuba membawa penggemar jenamanya menyusuri maksud di sebalik enam helaian rekaan terbaharu diketengahkan.

Katanya, gaun pengantin RoseZella memperlihatkan tiga dimensi menggunakan fabrik seperti Neoprint, jaring, kapas tebal baldu (corduroy), tweed dan renda. Koleksi itu lahir menerusi matlamat beliau memartabatkan nilai kewanitaan dalam rekaan dengan menonjolkan enam perwatakan berbeza.


KOLEKSI busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau berkata, rekaan itu hadiah untuk wanita atas rasa penghormatan terhadap sifat wanita yang memiliki aura kekuatan luar biasa, gigih, tabah dan penuh pengharapan.

"Bukan kali ini saja, rekaan busana pengantin saya sebelum ini memang selalu mengangkat jiwa wanita. Saya 'jatuh cinta' dengan keindahan wanita dan sifat peribadi mereka yang unik sehingga jiwa itu saya bawa dalam persalinan rekaan ini," katanya.

Kashfi berkata, busana pengantin terkini itu adalah perumpamaan kepada keindahan dan tenaga wanita yang dipaparkan dalam rekaan berwarna merah bersifat lantang dan berani. Bunga ros pula dijelmakan sebagai ciri penting seorang wanita tulen dalam suntikan nilai estetika.

Eksperimen dengan rona

Beliau memilih merah kerana ia lambang keberanian dan warna penegasan yang simbolik mempamerkan kematangan, keindahan dan sifat tangkas wanita dalam kehidupan harian.

"Merah juga mempamerkan diri saya sendiri sebagai pereka yang berani bereksperimen dengan warna. Bagaimanapun, saya memberi titik keseimbangan dan memadankan merah dengan rona seperti putih, merah hati dan nude. Gabungan merah putih membawa makna sifat suci wanita tetapi berani dalam memperjuangkan hak. Merah dan warna polos membawa kepada ekspresi anggun tetapi masih ada sifat kewanitaan. Begitu juga padanan antara merah dan merah hati, ia ekspresi kepada pengukuhan wanita ketika membuat keputusan," katanya.


PEREKA fesyen, Muhamad Kashfi Zulkufli bersama model yang memperagakan koleksi busana pengantin Butik Kashfi Zulkufli Creation. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Kashfi juga teliti dalam setiap sudut gaun pengantin ciptaan eksklusifnya. Justeru, tidak hairanlah teknik rekaan seperti juraian, kembang, menguncup, leretan panjang dengan perincian tatahan berlian dan susunan batu manik indah ditampilkan, mampu menyerlahkan lagi keanggunan pengantin," katanya.

INFO: Panduan memilih gaun pengantin

  • Elakkan gaun terlalu labuh daripada ketinggian anda.

  • Jika mahu gaun labuh, pastikan ada pengapit bersama sepanjang majlis bagi mengelakkan anda jatuh terpijak kain sendiri.

  • Gaun pengantin yang sempurna adalah khas ditempah sepadan dengan saiz anda.

  • Namun, jika anda menyewa gaun dari butik, pastikan kena pada tubuh anda.

  • Gaun pengantin dari pelbagai warna dapat menceriakan hari indah anda terutama ketika sesi fotografi.

  • Ketika memakai gaun pengantin, pakai kasut tumit tinggi supaya anda nampak persis model.

  • Bagi pengantin Muslimah, lebih elok memilih gaun berlengan panjang. Nampak pelik jika anda memilih gaun paras dada dengan baju T kosong di dalam.
32 dibaca
Berita Harian X