Isnin, 23 Januari 2017 | 4:18pm

PM, TPM ucap takziah kepada keluarga Budiman

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, atas pemergian ke rahmatullah bapanya pagi tadi.

"Takziah YB @BudimanZohdi dan keluarga atas pemergian ayahanda tercinta yang pulang ke rahmatullah pagi tadi. Moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitter rasmi beliau, hari ini.

Mohd Zohdi Abdullah, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam pada 11.37 pagi akibat kanser paru-paru.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut mengucapkan takziah kepada Budiman.

"Al-Fatihah. Salam takziah buat keluarga Allahyarham bapa YB Budiman. Semoga arwah bapa tercinta ditempatkan bersama hamba-NYA yang soleh," kata Ahmad Zahid dalam catatan akaun rasmi Twitter beliau. - BERNAMA

Berita Harian X