Khamis, 18 Disember 2014 | 12:14am

Piala AFF: Harimau longlai selepas 70 minit - Dollah


KETUA jurulatih Dollah salleh memberi arahan kepada pemain pada final pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Thailand dan Malaysia, malam tadi. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kepenatan yang melanda barisan pertahanan Malaysia pada 20 minit terakhir perlawanan final pertama Piala AFF Suzuki 2014, malam tadi diakui jurulatih, Dollah Salleh antara punca kekalahan 2-0 skuad bimbingannya kepada Thailand.

Pada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok itu, Thailand yang dikuatkan dengan sokongan puluhan ribu penonton memperoleh gol pertama ketika perlawanan berbaki 20 minit selepas penyerang, Adisak Kraisorn dijatuhkan Fadhli Shas di kawasan penalti.

Charyl Chappuis menyempurnakan penalti itu pada minit ke-71 yang jelas menambah semangat Thailand untuk memburu gol sebelum Kroekrit Thaweekarn menambah gol kedua empat minit sebelum masa permainan tamat.

"Barisan pertahanan kami longlai selepas 70 minit permainan dan penalti itu merosakkan segala-galanya," kata Dollah yang menurunkan kesebelasan sama ketika perlawanan separuh akhir kedua ketika menentang Vietnam pada perlawanan malam tadi, sesuatu yang sudah dapat dijangka rakan sejawatannya, Kiatisuk Senamuang.

Begitupun, bekas jurulatih Pahang dan PDRM itu masih belum menafikan peluang Malaysia untuk bergelar juara dan menyifatkan semangatnya untuk menjulang gelaran serantau itu tetap membara pada perlawanan final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Kami akan kembali dan bermain 200 peratus di laman sendiri dan saya merasakan kami mempunyai peluang di Bukit Jalil. Kami akan bermain bermati-matian untuk menang," katanya dipetik laman www.affsuzukicup.com.

Malaysia memulakan perlawanan dengan baik menerusi dua percubaan berbahaya daripada Mohd Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan Talaha di awal permainan namun segala-galanya seakan tidak menjadi dengan penjaga gol, Farizal Marlias dipaksa bekerja keras mempertahan gawangnya daripada dibolosi.

Dollah yang pernah beraksi di kejohanan AFF sebagai pemain pada era 90-an akan pulang ke tanah air, petang esok.

Pasukan Thailand juga dijadualkan tiba ke Malaysia pada hari yang sama.

Berita Harian X