Rabu, 17 Disember 2014 | 11:35pm
JURULATIH Thailand, Kiatisuk Senamuang mengarahkan anak buahnya pada final pertama Piala AFF Suzuki antara Thailand dan Malaysia, malam tadi. - Foto Osman Adnan

Piala AFF: Thailand belum selamat lagi - Kiatisuk

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang menyifatkan perjuangan anak buahnya masih belum selesai sekalipun mendapat modal selesa dua gol menjelang pertembungan final kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Pada perlawanan pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini, Thailand mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Charyl Chappuis pada minit ke-71 menerusi penalti dan gol Kroekrit Thaweekarn pada minit ke-86.

Begitupun bagi Kiatisuk yang diberi jolokan sebagai Zico oleh peminat tempatan, kemenangan di laman sendiri itu tidak memberi sebarang makna seandainya mereka gagal menjulang piala berprestij itu.

"Perjalanan kami masih belum berakhir," kata Kiatisuk yang pernah menjulang gelaran serantau itu tiga kali selaku pemain. "Jika kami mahu menang, kami perlu bermain dengan baik di Bukit Jalil."

Kemenangan Thailand pada aksi pertama di Bangkok sudah boleh diagak dengan barisan muda Gajah Perang tampak lebih bertenaga terutama di bahagian tengah selain benteng pertahanan yang mampu membaca gerakan Malaysia.

Namun Kiatisuk menyifatkan antara kunci kemenangan pasukannya ialah mereka sudah dapat membaca permainan yang bakal ditampilkan Malaysia, malam ini.

"Hari ini kami mengubah taktik, meneka bagaimana mereka akan bermain. Mereka bermain seperti mereka lakukan seperti menentang Vietnam, ia perlawanan yang menarik," kata Kiatisuk dipetik dalam laman sesawang www.affsuzukicup.com.

Pada perlawanan peringkat kumpulan di Singapura, Malaysia tewas 2-3 kepada Thailand namun Harimau Malaya berjaya mendahului sebanyak dua kali sebelum dikecewakan jaringan Adisak Kraisorn.

Berita Harian X