Rabu, 17 Disember 2014 | 9:54pm
PEMAIN lincah Thailand, Adisak Kraisorn (kiri) melepasi kawalan tiga pemain Malaysia dalam aksi perlawanan final pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini. - Foto EPA

Piala AFF: Thailand benam Harimau Malaya 2-0


PEMAIN Thailand, Kroekit Thawikan berjaya menjaringkan gol kedua pada perlawanan final pertama Piala Suzuki AFF 2014 antara Thailand dan Malaysia di Bangkok, malam ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Thailand meledakkan dua gol dalam tempoh 15 minit untuk mendapatkan modal selesa menewaskan Malaysia 2-0 dalam final pertama, Piala AFF Suzuki di Bangkok, malam ini.

Harimau Malaya yang memberi persembahan sederhana kali ini, meniti ranjau sukar apabila bertemu Gajah Perang itu dalam final kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Thailand pimpinan Kiatisuk Senamuang mengesahkan kemenangan penting ini di Stadium Rajamangala menerusi jaringan Charyl Chappuis pada minit ke-71 dan Kroekrit Thaweekarn pada minit ke-86.

Harimau Malaya bermula garang tapi gagal memanfaatkan dua peluang ketika berdepan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Mohd Amri Yahyah gagal menyempurnakan hantaran Safiq Rahim pada minit ketiga apabila rembatan berjaya ditepis keluar sebelum Norshahrul Idlan Talaha menguji ketangkasan Kawin pada minit keenam.

Tiga minit sebelum tamat babak pertama, tuan rumah hampir membuka tirai jaringan tapi rembatan Adisak Kraisorn sekadar melewati palang gol.

Selepas rehat, Harimau Malaya mencuba tapi keringat itu belum mencukupi menembusi kubu tuan rumah yang kebal.

Usaha pemain Thailand membutirkan hasil apabila menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-71.

Gol itu disempurnakan Chappuis selepas pemain Thailand, Adisak dijatuhkan dalam kawasan kotak penalti oleh Fadhli Shas.

Selepas jaringan sulung tuan rumah, Harimau Malaya nampak hilang rentak tapi membuat beberapa percubaan ke arah gol lawan yang tidak begitu menyengat.

Kelekaan benteng Malaysia dihukum sekali lagi pada ke-85 apabila Kroekrit menggegar gawang Mohd Farizal selepas menyempurnakan hantaran lintang Chanathip.

Harimau Malaya nyaris mendapatkan satu gol pada minit-minit terakhir permainan tetapi usaha daripada Indra Putra Mahayuddin diselamatkan penjaga gol lawan.

THAILAND

Kawin Thammasatchanan (kapten), Narubodin Weerawatnodom, Suttinan Phukhom, Tanaboon Kesarat, Peerapat Notchaiya, Mongkol Thosakrai (Prakit Deeprom), Charyl Chappuis, Sarach Yooyen (Abdul Lahsom), Kroekrit Thaweekarn, Chanathip Songkrasin, Adisak Kraisorn

MALAYSIA

Farizal Marlias, S Kunanlan, Shukor Adan (kapten), Fadhli Shas, Zubir Azmi, Azammuddin Akil, Safiq Rahim, Badhri Radzi (Baddrol Bakhtiar), Amri Yahyah (Safee Sali), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha.

PENGADIL: Kovalenko Valentin (Uzbekistan)

Berita Harian X