Isnin, 23 Januari 2017 | 12:42am

Arsenal bernasib baik atasi Burnley


PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez merembat lalu membolosi gawang Burnley melalui sepakan penalti untuk meraih kemenangan Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris, di Emirates, sebentar tadi. - Foto EPA

LONDON: Alexis Sanchez meledak gol lewat menerusi penalti bagi membantu Arsenal meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates, sebentar tadi.

Tanpa jaringan pada babak pertama, Arsenal yang menguasai permainan memecah kebuntuan gol pada minit ke-59 menerusi jaringan Shkodran Mustafi yang melonjak tinggi bagi menanduk sepakan sudut Mesut Ozil.

Begitupun, keceriaan tuan rumah tidak lama apabila terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-65 selepas Granit Xhaka dilayangkan kad merah kerana mengasari Steven Defour.

Tindakan itu menyaksikan The Gunners terpaksa mengubah corak permainan dan ketika perlawanan tampak berkesudahan tanpa tambahan jaringan, Burnley menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Andre Gray selepas Francis Coquelin mengasari Ashley Barnes.

Keputusan itu turut mencetus berang pengendali Arsenal, Arsene Wenger yang kemudian diarah meninggalkan kawasan tempat duduk pemain kerana membantah keputusan terbabit.

Dan tambahan masa tujuh minit yang diberikan pengadil jelas digunakan sepenuhnya Arsenal apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti selepas Ben Mee mengasari Laurent Koscielny.

Sanchez tidak bermasalah untuk menyempurnakan penalti itu sekali gus memastikan The Gunners mengutip tiga mata penuh di laman sendiri. - Agensi

51 dibaca
Berita Harian X