Ahad, 22 Januari 2017 | 11:22pm

Muhammad Ramadhan selamat dikebumikan

DUNGUN: Jenazah penghidap leukemia, Muhammad Ramadhan Alias yang meninggal dunia semalam, ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan umrah, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Madinah, malam ini.

Ibunya, Saibah Yaacub, 57, berkata, jenazah anaknya itu dikebumikan selepas solat Asar di negara berkenaan, pada jam 10 malam waktu Malaysia.

Katanya, sebaik urusan dokumentasi selesai, anaknya itu yang masih berada di Hospital Al-Ansar dimandi dan dikafankan sebelum dibawa ke Masjid Nabawi untuk disolatkan oleh jemaah yang berada di masjid berkenaan.

GAMBAR fail, Muhammad Ramadhan Alias, 20 mencium ibunya Saibah Yaacob, 58 di rumahnya di Kampung Beril Paka pada 8 Januari lalu . - Foto Aslina Abu Bakar

"Alhamdulillah arwah sudah dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan dengan Masjid Nabawi sebentar tadi.

"Selagi segala urusan pengebumiannya belum selesai hati saya tidak tenteram. Selepas ini saya akan bertolak ke Makkah untuk menjalani ibadat umrah tanpa Muhammad Ramadhan di sisi. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kami," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Muhammad Ramadhan dari Kampung Beril Paka, meninggal dunia di Hospital al-Ansar, kira-kira jam 11.20 pagi sebelum sempat berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah selepas dia dan ibunya itu dibiayai ke Tanah Suci oleh Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) dan kerajaan negeri.

Berita Harian X