Ahad, 22 Januari 2017 | 12:06pm

Mayat seorang pelajar tahfiz lemas ditemui


SEBAHAGIAN anggota penyelamat yang menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Kampung Nipah Bachok. - Foto Nor Amalina Alias

BACHOK: Mayat seorang daripada dua pelajar tahfiz yang lemas di pantai Kampung Nipah di sini, ditemui di Pantai Irama, di sini pada jam 10.15 pagi tadi.

Mangsa, Ilham Mohd Hafiz, 15, ditemui kira-kira tiga kilometer daripada lokasi lemas oleh penduduk kampung.

Saksi kejadian, Mohd Hasnizan Mohamad, 37, berkata dia ternampak satu objek yang dihanyutkan ombak sebelum menyedari ia adalah mayat manusia.

"Pada mulanya saya sangka plastik tapi tiba-tiba ternampak tangan, saya berada kira-kira 50 meter di gigi air sebelum mayat dibawa ombak ke pantai," katanya ketika ditemui di Pantai Irama di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata mayat pelajar berkenaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

"Kami juga akan meneruskan operasi pencarian seorang lagi mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, dua pelajar tahfiz, Ilham dan Mohd Aiman Che Hasyim, 15, dikhuatiri lemas selepas mereka dan lima lagi rakan dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Kampung Nipah, pada kira-kira jam 3.30 petang.

Lima pelajar yang selamat adalah Ahmad Daniel Mohd Azizi; Mohd Nafiz Irfan Mohd Nazri; Omar Saizan; Talha Mohd Hatta dan Daniel Hakim Mohd Syukri, kesemuanya berusia 15 tahun.

42 dibaca
Berita Harian X