Rabu, 17 Disember 2014 | 6:32pm
Penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.

Piala AFF: Adisak tekad robek gawang Malaysia lagi

KUALA LUMPUR: Penyerang Thailand, Adisak Kraisorn mahu merobek gawang skuad Harimau Malaya sekali lagi.

Penyerang berusia 23 tahun itu tampak dahagakan jaringan lagi selepas berjaya meledak dua kali ketika membantu skuad Gajah Perang mengatasi Malaysia 3-2 dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di Singapura.

"Malaysia adalah antara pasukan terkuat di ASEAN. Saya mahu cuba membolosi gawang Malaysia sekali lagi untuk bantu Thailand menang di tempat sendiri," katanya dalam laman rasmi Piala AFF Suzuki.

Malaysia akan bertemu Thailand dalam final pertama di Stadium Rajamangala di Bangkok, malam ini dan Adisak yang menikmati musim hebat bersama kelab dan pasukan negara mahu menyekat lawan sekali lagi.

Adisak menyumbat lima gol untuk skuad Bawah 23 tahun Thailand dalam Sukan Asia yang membantu pasukannya layak ke separuh akhir di Incheon, Korea Selatan, Oktober lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia, Dollah Salleh sudah mengingatkan pemain betapa bahaya ancaman Adisak kepada impian mereka untuk memenangi trofi kejuaraan buat kali kedua.

"Adisak tidak banyak mensia-siakan peluang seperti mana ditunjukkan ketika menjaringkan dua gol menentang Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini," katanya.

Berita Harian X