Sabtu, 21 Januari 2017 | 4:34pm

'Terima kasih PM, MB dan BH'


MUHAMMAD Ramadan dan ibunya Saibah Yaacub, yang mendapat tajaan mengerjakan Umrah berkemas sebelum berangkat ke Tanah Suci di rumahnya, Selasa lalu.- Foto Rosli Ilham

DUNGUN: "Terima kasih Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan BH kerana menjadikan impian arwah Muhammad Ramadan jadi kenyataan," kata Luqman Hakim Alias.

Luqman, 32, abang Muhammad Ramadan, 20, mewakili ahli keluarganya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertanggungjawab 'membawa' adiknya itu ke Tanah Suci untuk menjalani ibadah umrah seperti yang dihajatinya.

"Walaupun arwah tidak berkesempatan mengunjungi Makkah, apabila Perdana Menteri dan Menteri Besar setuju 'menerbangkan' Muhammad Ramadan tempoh hari, dia sangat teruja.

"Malah, dalam perbualan sesama adik-beradik, Muhammad Ramadan turut memaklumkan dia sangat gembira kerana kebetulan hari sepatutnya dia mengerjakan umrah jatuh pada tarikh lahirnya," katanya.

Muhammad Ramadan yang menghidap leukemia tahap empat sebelum ini dimaklumkan hanya mampu bertahan kira-kira empat bulan lagi, bagaimanapun, arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Madinah,  kira-kira jam 11.20 pagi tadi. 

Hasrat Muhammad Ramadan untuk mengerjakan umrah dilaporkan oleh BH sebelum mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu dan Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) yang setuju membiayai perjalanan dia dan ibunya, Saibah Yaacub, 57, untuk ke Madinah, Rabu lalu.

Berita Harian X