Sabtu, 21 Januari 2017 | 3:18pm

KLHC ujian sebenar UniKL esok


PEMAIN TNB, Najib Abu Hassan (kanan) disaingi pemain UNIKL, Aqmal Abd Ghaffar pada perlawanan Liga Premier TNB/MHL 2017 di Stadium Hoki KL Pantai. - Foto OSMAN ADNAN

KUALA LUMPUR: Selepas meraih empat kemenangan berturut-turut bertemu lawan kurang kompetitif, pendahulu Liga Perdana Hoki Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bakal berdepan ujian sebenar apabila bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), esok.

UniKL pastinya mampu berbangga dengan empat kemenangan bersih selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), TNB, TNB Thunderbolts dan UiTM-KPT, tetapi mereka pasti tidak diberi laluan mudah apabila bertemu KLHC yang dilabel pasukan pilihan musim ini.

Bagi pengendali UniKL, Arul Selvaraj, beliau mengakui kesukaran yang bakal dihadapi barisan pemainnya tetapi menuntut mereka meraih tiga mata penuh.

"Selepas empat kemenangan, saya rasa setiap pemain lebih berkeyakinan apabila turun menentang KLHC.

"Cuma, saya harap mereka tidak lagi hilang fokus seperti yang dilakukan pada perlawanan terdahulu yang pada akhirnya membenarkan lawan menjaringkan gol.

"Sudah tentu misi utama kami adalah untuk menang," katanya selepas menyaksikan pasukannya menewaskan UiTM-KPT 6-2, semalam.

Jelas Arul, beliau cukup menghormati KLHC yang pada pandangannya, pasukan lengkap di setiap posisi.

"Barisan pemain tengah serta tonggak pertahanan mereka sangat bagus. Tapi saya rasa mereka juga belum benar-benar diuji. Saya rasa kami adalah pasukan pertama yang benar-benar akan menguji mereka.

"Saya tidak tahu secara keseluruhan kekuatan lawan, tapi sudah tentu kami akan berusaha untuk meraih mata," katanya.

Arul dijangka kembali menurunkan khidmat peledak berbisa Faridzul Afiq ketika berdepan KLHC selepas merehatkan pemain itu untuk memberi laluan kepada seorang lagi penyerang muda, Azrul Hasbullah.

Antara perlawanan tumpuan lain esok adalah membabitkan Maybank serta Terengganu Hockey Team (THT).

Maybank pastinya mahu kembali meraih kemenangan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut, kepada TNB dan KLHC.

Dua perlawanan lagi membabitkan TNB Thunderbolts bertemu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) serta TNB bertemu UiTM-KPT.

Jadual Liga Perdana esok:

Maybank lwn THT, 6 ptg - Std Hoki Bukit Serindit, 6ptg

TNB Thunderbolts mln SSTMI - Std SSTMI, 5ptg

KLHC mln UniKL - Std Hoki Pantai, 6ptg

TNB mln UiTM-KPT - Std Hoki Pantai, 8mlm

Berita Harian X