Sabtu, 21 Januari 2017 | 12:21pm

Muhammad Ramadan meninggal dunia di Madinah


MUHAMMAD Ramadhan Alias. - Foto Aslina Abu Bakar

DUNGUN: Pesakit leukemia, Muhammad Ramadan Alias, yang sebelum ini dilaporkan berhasrat mengerjakan umrah, disahkan meninggal dunia di Madinah, kira-kira jam 11.20 pagi tadi waktu Malaysia.

Abang Allahyarham, Luqman Hakim, 32, ketika mengesahkan perkara itu hari ini berkata Muhammad Ramadan, 20, dikejarkan ke sebuah hospital di Madinah petang semalam kerana pendarahan.

Katanya, kira-kira jam 2 petang semalam, ibunya, Saibah Yaacub, 57, yang mengiringi Muhammad Ramadan untuk mengerjakan umrah menghubunginya dan memaklumkan adiknya itu mengalami pendarahan.

Saibah dan Muhammad Ramadan sepatutnya bertolak ke Makkah dari Madinah semalam.

"Ibu memaklumkan adik mengalami pendarahan di bahagian mulut dan telinga itu berada dalam keadaan tenat dan tidak boleh bercakap.

"Ibu juga mengatakan dia sangat sedih apabila Muhammad Ramadan sudah tidak mengenali sesiapa sebelum dikejarkan ke sana (hospital)" katanya.

Luqman berkata, dia meminta ibunya supaya bersabar dan keluarga berdoa supaya adiknya itu selamat.

"Bagaimanapun, pagi ini ibu menghubungi saya dan memaklumkan Muhammad Ramadan meninggal dunia dan jenazah adik akan dikebumikan di sana," katanya.

Luqman berkata, ibu dan arwah adiknya yang berada di Madinah sepatutnya bertolak ke Makkah semalam untuk mengerjakan ibadat umrah.

Dua beranak itu berlepas dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Madinah Rabu lalu menaiki pesawat MH8000.

Muhammad Ramadan yang menghidap penyakit leukemia tahap empat diramal mempunyai harapan hidup dalam tempoh empat bulan dan berhasrat menunaikan umrah bersama ibunya.

Hasratnya itu yang disiarkan BH mendapat simpati Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang bersetuju membiayai pakej perjalanan dua beranak terbabit manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) bersetuju membiayai perbelanjaan mereka.

Berita Harian X