Sabtu, 21 Januari 2017 | 8:30am

BR-V baharu sesuai untuk keluarga besar


HARGA mampu milik, rekaan lebih menarik. - Foto Mohd Yusni Ariffin

HONDA Malaysia akhirnya menamatkan penantian rakyat Malaysia kepada model crossover mampu milik pertamanya apabila memperkenalkan BR-V minggu lalu.

Model dibangunkan Honda R&D Asia Pacific Co Ltd (HRAP) untuk pasaran Asia dan Oceania yang dipasang di kilang Honda di Melaka itu ditawarkan dengan dua varian iaitu E dan V yang masing-masing dijual pada harga atas jalan dengan insurans RM85,800 dan RM92,800.

Honda Malaysia yakin BR-V serba baharu akan memuaskan kehendak pelanggan yang inginkan kenderaan yang mampu memuatkan tujuh orang dengan selesa serta menawarkan pemanduan selesa di atas pelbagai keadaan jalan raya di negara ini

BR-V serba baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dan dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan di bawah Honda Earth Dreams Technology untuk meningkatkan penjimatan bahan api serta menawarkan prestasi pemanduan lebih baik.

Padat dengan pelbagai ciri praktikal dan nilai tambah, BR-V menampilkan rekaan menarik yang mana bahagian luaran menterjemahkan gaya kenderaan utiliti sukan (SUV), manakala dalamannya sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV).

Lebih menarik, BR-V turut ditawarkan dengan set rim aloi dua tona bersaiz 16 inci, rel bumbung dan lampu nyalaan siang (DRL), selain fungsi menarik untuk sebuah kenderaan mampu milik iaitu kamera dan alat pengesan ketika mengundur.

Ruang dalaman pula menawarkan material bergaya dan berkualiti tinggi, ruang dalaman luas dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.

Varian V tampil dengan rekaan lebih menarik menerusi pelbagai ciri premium untuk segmen B seperti paparan audio bersaiz 6.1 inci dan pendingin hawa automatik, butang penghidup enjin dan kemasukan pintar, kemasan kulit, stereng dibalut kulit dan butang kawalan audio.

Malah, praktikaliti BR-V diserlahkan lagi menerusi pelbagai konfigurasi tempat duduk dengan tempat duduk baris kedua boleh dilipat dan dinaikkan menjadi konfigurasi 60:40 dengan hanya satu sentuhan mudah, manakala tempat duduk baris ketiga pula hadir dengan konfigurasi Tilt & Tumble 50:50.

Sebanyak 11 tempat meletak minuman jelas memberi kemudahan kepada sebuah keluarga yang besar tanpa perlu kompromi dengan aspek ruangnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi, berkata pengeluar kedua terbesar dari segi jualan dalam segmen kenderaan bukan nasional itu menyasar menjual kira-kira 10,000 unit model tujuh tempat duduk itu pada tahun ini.

"Kami menyasar menjual sebanyak 800 unit BR-V sebulan bersandarkan jangkaan bahawa permintaan kenderaan SUV dan utiliti akan meningkat, mencerminkan kehendak pelanggan di Malaysia," katanya.

Info:
Honda BR-V

  • Varian E (RM85,800) dan V (RM92,800)
  • Dibangunkan oleh Honda R&D Asia Pacific Co Ltd (HRAP)
  • Enjin 1.5L i-VTEC, dipadankan kotak gear CVT
  • 120 hp @ 6,600 rpm dan tork 145 Nm @ 4,600 rpm
  • 4,455 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi
  • Jarak roda 2,660 mm
Berita Harian X