Rabu, 17 Disember 2014 | 2:18pm

JSJN rampas dadah RM5.7 juta, patahkan cubaan seludup dadah warga Nigeria

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya mematahkan cubaan seludup dadah oleh sindiket warga Nigeria serta merampas 43.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 5.4 kg ephedrine membabitkan nilai keseluruhan RM5.7 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh pasukannya dalam operasi berasingan dijalankan JSJN di pintu masuk lapangan terbang negara pada 13, 14 dan 16 Disember.

Beliau berkata dalam rampasan pertama iaitu pada jam 8.50 malam, Sabtu lalu, sindiket telah menyeludup masuk dua bungkusan berasingan dengan menggunakan satu dokumen perjalanan udara.

"Satu daripada bungkusan itu mengandungi pakaian terpakai termasuk seluar jeans, sementara satu lagi didapati mengandungi sejumlah 20.2 kg syabu.

"Bungkusan itu telah dihantar dari Abuja, Nigeria menggunakan penerbangan Egypt Air melalui Kaherah ke Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, sebentar tadi.

Noor Rashid berkata, bagi rampasan kedua, pada Ahad pula, pemantauan rapi dilakukan JSJN pada 7.10 malam berjaya menahan seorang lelaki India berusia 44 tahun yang baru tiba dari Chennai, India.

"Hasil pemeriksaan ke atasnya, kita berjaya merampas satu bungkusan mengandungi 5.4 kg ephedrine, disorokkan dalam ruangan bawah bagasi yang telah diubah suai.

"Suspek telah ditahan dan direman bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Merbahaya (ADM) 1952," katanya.

Bagi rampasan ketiga iaitu pada jam 7.10 malam, semalam, beliau berkata modus operandi sama dengan rampasan pada Sabtu dilakukan iaitu menyorok barang terlarang itu dalam sebuah kotak yang dihantar dari Abuja.

"Hasil pemeriksaan di kargo, berjaya merampas 23 kg syabu dan kita percaya ia dilakukan oleh sindiket sama (pada Sabtu)," katanya.

Katanya, walaupun tiada tangkapan bagi rampasan pada Sabtu dan semalam, anggotanya tetap akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39(b) ADM 1952 bagi menjejaki sindiket terbabit.

Berita Harian X